Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, May 24, 2017

Azmin: Exco PAS dikekalkan demi rakyat

Zulaikha Zulkifli
Menteri Besar Selangor berkata, beliau dan Biro Politik PKR memutuskan untuk mengekalkan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri.

Kata Datuk Seri Azmin Ali, selepas meneliti segala maklum balas mengenai perkara itu faktor kestabilan kerajaan negeri adalah perkara yang amat penting.

Justeru, katanya, berdasarkan mandat diberi rakyat kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, perkara itu harus diteruskan bagi memberi khidmat kepada rakyat.

"Keputusan dibuat selepas saya memberikan penjelasan kepada biro politik tentang situasi semasa di Selangor.

"Kita meneliti semua maklum balas ini dan berasakan kestabilan kerajaan negeri merupakan satu perkara yang amat penting menjelang PRU akan datang," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis bersama anggota nazir masjid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Azmin menjelaskan, kerajaan negeri dan PKR mengambil kira bahawa yang memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan parti itu ialah PAS.

Katanya, mandat pengundi pula diberi kepada PAS, PKR dan DAP atas kapasiti Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 lalu, maka kerajaan negeri akan meneruskan amanah yang diberikan itu demi rakyat.

"Dan keputusan ini dibuat secara sebulat suara semalam, dan saya berharap sekarang kita tumpu sepenuh perhatian bagi membuat persiapan PRU ke-14," katanya.

Tak campur audit negeri

Semalam, Malaysiakini melaporkan selepas mesyuarat bulanan PKR presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membayangkan tiada sebarang perubahan dalam kerajaan negeri Selangor.

Dr Wan Azizah berkata, biro politik parti itu telah diberikan taklimat dan menerima penjelasan Azmin walaupun PAS telah memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan.

Sementara itu, ditanya mengenai anggota parlimen Kelana Jaya Wong Chen yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara audit oleh Negeri Selangor, Azmin berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara berkenaan.

Katanya, beliau tidak akan campur tangan dengan proses yang dilakukan oleh Jabatan Audit Selangor.

"Saya tidak tahu tentang itu sebab bukan tugas saya untuk campur tangan dengan proses yang dilakukan jabatan audit.

"Jadi saya serahkan kepada Jabatan Audit Selangor untuk melihat perkara ini. Kita tak ganggu kerana ia badan bebas," katanya.

Wong Cheng meluahkan rasa tidak puas hati ekoran cara audit yang dijalankan ke atas pusat khidmatnya oleh Perbendaharaan Negeri Selangor.

Menurut Wong Cheng, audit yang dijalankan pada Mac 2016 ke atas perbelanjaan di pejabat beliau di Kelana Jaya pada 2014 dan 2015, dibuat tanpa pengetahuannya.