Friday, May 26, 2017

Jika PRU selepas Julai 2017, PH berpeluang menang

Posted By: Selena Tay

Media arus perdana berhempas pulas menerbitkan ramalan kononnya keputusan pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) tidak akan berubah sejak negara merdeka BN diramal menang dan akan merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi, Albert Kwok berpendapat sebaliknya. Menurut beliau sekiranya pentadbiran Najib Razak menangguhkan PRU sehingga September Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang tipis untuk menang.

“Secara realitinya, saya berpendapat jika PRU14 diadakan selepas bulan Julai, Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang untuk menang tipis.

“Berdasarkan keputusan PRU13 dan tinjauan dalam kalangan golongan usahawan, saya meramalkan PKR akan dapat 40 kerusi, DAP 38 kerusi, PPBM 30 kerusi dan Amanah 12 kerusi.

“Secara kasar ini memberikan PH jumlah 120 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen dan mereka menang secara simple majoriti. PRU14 selepas bulan Julai juga akan memberi masa kepada PH untuk mengatur strategi. Tetapi kalau PRU14 dalam bulan Julai, ia agak susah untuk PH membuat kejutan,” katanya kepada Suara pakatan daily.

Albert menegaskan pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang akan memberikan gambaran yang baik mengenai kemampuan gabungan itu sebagai pemerintah. Selain daripada itu, pelbagai skandal rasuah dan imej negara yang sudah terjejas juga akan mendorong pengundi untuk memilih PH.

Dari sudut ekonomi, katanya, Selangor menyediakan banyak peluang pekerjaan baharu yang meningkat dari angka 2,912,300 kekosongan dalam tahun 2014 kepada 3,217,600 dalam tahun 2016. Ini bukti jelas ekonomi Selangor adalah kukuh, stabil dan sedang berkembang pesat.

“Walaubagaimanapun, saya mempunyai pandangan bahawa Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri sementara (interim PM) agak kurang sesuai.

“Pakatan memerlukan seorang yang berpengalaman dan ‘garang sedikit’ dalam jawatan tersebut. Ini kerana pihak musuh akan menggunakan pelbagai taktik untuk menyerang PH semasa Anwar Ibrahim masih di dalam penjara,” jelas Albert.

Beliau juga menggesa PH supaya mengumumkan kabinet bayangan dalam bulan Ogos untuk memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa PH adalah pilihan yang sesuai untuk masa depan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-