Sunday, May 14, 2017

Keputusan Pas adalah langkah ke belakang

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 MEI 2017
Mohamad Ezam Mohd Nor
SHAH ALAM - Keputusan Majlis Syura Pas yang sepakat untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah merupakan satu langkah kebelakang dari sudut perjuangan besar bagi melawan kerajaan yang mengamalkan rasuah.

Bekas Senator, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor berkata, sekiranya maslahah rakyat adalah merupakan asas keputusan Pas maka persoalan rasuah seharusnya menjadi pertimbangan utama parti Islam itu kerana ia memberi kesan paling besar kepada masyarakat.

“Keperitan rakyat hari ini jelas kerana pentadbiran Putrajaya dipalit skandal kewangan terbesar yang di sebut secara rasmi dan terbuka di seluruh dunia sebagai kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh memaklumkan bahawa terdapat banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan tersebut.

Sehubungan itu, Ezam turut mempersolkan sama ada Pas melihat semua institusi Melayu seperti Tabung Haji (TH), Felda,dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang rosak.

“Demi maslahah rakyat marilah bersama jatuhkan dan ganti kerajaan yang paling rasuah ini.

“Janganlah memberi ruang kepada mereka untuk terus berkuasa dan terus mencuri hak rakyat secara besar-besaran dan terang-terangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ezam berkata pihaknya percaya masih belum terlambat buat Pas untuk memperbetulkan keputusan mereka dan meletakkan keutamaan dalam pertimbangan politik pada hari ini.

Tambah beliau, ramai dikalangan pendokong Pas masih mahu bersama satu pasukan untuk melawan rejim rasuah dan membina kerajaan baharu.

“Jangan terperangkap dengan agenda perasuah yang mahu terus kekal berkuasa dan terus melakukan budaya tersebut,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-