Saturday, May 27, 2017

Kota Bharu sambut Ramadan lengkap dengan pokok kurma dan unta

FMT Reporters
May 27, 2017

Ia menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan puasa termasuk khidmat jagaan anak ketika solat tarawih.
PETALING JAYA: Penduduk Kota Bharu boleh menyambut bulan Ramadan dengan sedikit kelainan tahun ini, dengan pelbagai program di sebuah lokasi khas, lengkap dengan unta dan pokok kurma bagi memberikan pengunjung suasana tanah Arab.

“Madinah Ramadan” untuk solat tarawih dan pelbagai aktiviti lain dibuka setiap hari di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Madinah, hasil perancangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Ia mampu menempatkan 6,000 pengunjung, dan selain solat tarawih, ia juga memuatkan program membaca Al Quran dengan menyasarkan pengkhataman.

“Setiap peserta akan membaca al-Quran secara beramai-ramai di bawah pimpinan qari yang dijemput sepanjang bulan Ramadan, satu hari satu juzuk,” kata jurucakap MPKB, Wan Mohamad Sharafi Wan Mustafa, dipetik laman berita PAS, Harakahdaily.

Majlis bacaan dan tafsir diadakan setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang, dan peserta yang berjaya hadir dari awal sehingga khatam 30 juzuk akan diberi sijil.

Antara tarikan Madinah Ramadan termasuk hiasan berkonsepkan oasis dan Timur Tengah, termasuk padang pasir, pokok kurma dan seekor unta hidup.

Pusat yang mempunyai 270 sukarelawan bertugas sepanjang bulan itu juga menyediakan hidangan berbuka puasa setiap hari, sebahagiannya sumbangan Persatuan Hotel Kelantan.

Ia juga menyediakan khidmat jagaan anak kecil untuk ibu bapa sewaktu solat tarawih.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-