Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, May 21, 2017

Pakatan Harapan mampu ulangi kejayaan Pakatan Rakyat - Dr Wan Azizah

Pakatan Harapan mampu ulangi kejayaan Pakatan Rakyat – Dr Wan Azizah
Posted By: Pentadbir

Air mata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berjuraian sebaik sahaja memulakan ucapan dasar presiden di Kongres Nasional Tahunan PKR ke 12, di Shah Alam.

Presiden PKR ketika mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat dan perwakilan tiba-tiba begitu sebak dengan menyatakan beliau hanya manusia biasa.

“Saya hanya manusia biasa, kasih sayang, kesetiaan, kesabaran dan ketaqwaan, semua itu dituntut.

“Mungkin diuji lebih sedikit dari tuan puan, namun dengan semangat dan sokongan tuan puan saya masih berdiri disini,” kata ketua pembangkang itu sambil mengelap air matanya.

Terdahulu, kongres PKR hari ini dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution dan disusuli dengan tayangan video kehidupan, perjuangan dan ketabahan pimpinan utama PKR.

Tayangan video tersebut berdurasi selama dua minit.

Namun, meskipun sebak anggota Parlimen Permatang Pauh itu tetap meneruskan ucapan dasarnya dengan menyentuh pertembungan sebenar pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang adalah antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan Umno dan BN.

Tanpa menamakan parti PAS, ADUN Kajang itu berkata, hanya gabungan utuh parti-parti pembangkang dapat mencabar keangkuhan pemerintah kleptokrat yang belum pernah ditumbangkan.

“Kita sudahpun berjaya menempa pelbagai kejayaan bersama Pakatan Rakyat. Formula kejayaan ini akan diulangi Harapan,” katanya ketika berucap di Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga merupakan Ketua Pembangkang berkata, HARAPAN akan ke seluruh pelosok negara melalui “Jelajah Hati ke Hati” untuk mendengar suara, pandangan dan rintihan rakyat Malaysia.

“Pemimpin dari keempat-empat parti akan menjelajah ke Felda, kampung nelayan, pekan kecil, rumah kecil, rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), sawah padi, tanah-tanah adat serta wilayah pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

“Dengan jelajah Hati ke Hati ke seluruh pelosok Malaysia, kami yakin boleh menawarkan manifesto HARAPAN yang lebih lengkap dan demi rakyat secara berperingkat-peringkat mulai bulan Julai,” katanya.

Wan Azizah berkata, manifesto HARAPAN kini sedang disiapkan oleh Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Harapan yang dipimpin oleh Ketua Sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah.

“5 Teras Utama Manifesto Harapan yang dicadangkan oleh PKR merangkumi agenda reformasi sektor ekonomi, institusi politik, sosial, kebajikan, sektor pekerjaan, autonomi Sabah-Sarawak dan perpaduan rakyat Malaysia,” kata Wan Azizah.

Mengakhiri ucapan dasar presiden perwakilan sekali lagi ditontonkan dengan tayangan video Ketua Umum PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim.

Mendengar kata-kata keramat bekas ketua pembangkang untuk terus bangkit berjuang, perwakilan bangun dan mengangkat sepanduk Anwar PM ke 7 sambil melaungkang “reformasi”.

Bagaimanapun, ketika barisan kepimpinan HARAPAN turut berdiri mengangkat sepanduk tersebut, ia tidak berlaku kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad.

Malah, mengakhiri ucapan dasar sekali gus merasmikan kongres Wan Azizah sekali lagi menitiskan air matanya.

Mkini