Monday, May 15, 2017

PAS optimis sapu bersih DUN & parlimen Terengganu

15 MEI: Di ibaratkan misi untuk menawan kembali Terengganu, kepimpinan PAS negeri itu mengumumkan untuk bertanding kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang berkata parti itu ‘optimis’ memenangi lebih banyak kerusi berbanding jumlah semasa yang disandangnya ketika ini berikutan kemantapan barisan kepimpinan PAS negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan baru-baru ini.

“Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru,” katanya, Isnin.

Pada ketika ini, PAS Terengganu hanya mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Tindakan itu dilihat mengikut jejak langkah PAS Wilayah Persekutuan yang membuat keputusan bakal bertanding di sembilan kerusi daripada 13 kerusi parlimen yang ditawarkan.

Terdahulu, Husain mengumumkan ahli jawatankuasa baharu Badan Perhubungan PAS Terengganu Sesi 2017-2019 dengan ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya negeri kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya I manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan PAS negeri oleh kepimpinan pusat baru-baru ini, Husain menafikan tindakan itu berpunca daripada pergolakan dalaman parti.

“Sebaliknya, ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri yang baharu akan menguatkan lagi saf kepimpinan di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS Terengganu sudah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain bagaimanapun juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada pilihanraya umum.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-