Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, May 25, 2017

PAS ramal pembangkang bercakar lebih teruk ketika bahagi kerusi

Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak mempunyai hala tuju dan pendirian sepakat kerana lebih sibuk bertarung sesama sendiri berbanding menyelesaikan isu rakyat.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu jelas berlaku sejak perbalahan sesama sendiri kerana merebut kerusi ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu dan terus bercakaran sehingga pertikaian berhubung pemilihan siapakah paling layak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, mereka tidak sedar malah tidak mahu mengakui pergeseran itu sedang dan telah berlaku, tetapi menuding jari terhadap PAS kononnya menjadi punca percanggahan dalam pakatan pembangkang dahulu sebelum PAS mengambil tindakan keluar daripada gabungan tersebut.

“PAS dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan dalam pakatan pembangkangdahulu. Tanpa PAS, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap PAS adalah tidak benar,”katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal berita Harakahdaily.net.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP terus bercakaran sesama sendiri selepas keputusan Kongres PKR Ahad lalu menyatakan pendirian berhubung pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Episod kecam-mengecam sesama parti mula ditimbulkan oleh ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang menempelak tindakan PKR itu dengan mendakwa pengisytiharan Ketua Umum PKR sebagai Perdana Menteri merupakan satu perbuatan ‘sombong’ manakala Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat antara kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan itu menerusi satu surat terbuka.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pertarungan dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu dijangka lebih hangat apabila tiba masanya soal pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, ini memandangkan PKR telah pun mengisytiharkan bahawa kerusi parti itu tidak boleh diserahkan kepada sesiapa manakala DAP pula dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya.

“Peliknya, pengumuman ini sama seperti apa yang diisytihar PAS. Cuma ketika PAS umum, dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan sedangkan mereka yang sama ini (yang membuat tuduhan terhadap PAS) tetapi kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR.

“PAS juga telah mengisytiharkan mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon di kerusi tradisi PAS bermakna memberi tongkat kepada UMNO-Barisan Nasional. 
Percayalah PKR dan DAP akan turut membuat pengisytiharan yang sama tidak lama lagi. Itu tidak pelik kerana itulah realitinya dan PAS telah mendepani realiti tersebut lebih awal,” katanya.