Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, May 22, 2017

PAS: Suara Islam mesti dua pertiga di parlimen


PAS menggesa umat Islam bersatu dan memastikan dua pertiga anggota parlimen di Dewan Rakyat beragama Islam bagi mengukuhkan kuasa politik mereka.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, meskipun Islam merupakan agama persekutuan dan majoriti penduduk adalah muslim, namun masyarakat Islam di negara ini masih lemah.

"Islam sebagai agama Persekutuan. Majoriti penghuni negara ini ialah muslim. Pemimpin utama negara beragama Islam. Tapi umat Islam masih lemah dalam jumlah mereka yang ramai, hina di hadapan kaum bangsa sendiri, bangsat di atas tanahair sendiri.

"Kuasa politik Islam wajib diperkasa. Suara Islam mestilah 2/3 majoriti di parlimen," jelas Nasrudin dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, umat Islam perlu bangkit dari lena yang panjang dan keluar dari zon selesa mereka.

"Umat Islam wajib bersatu untuk mengembalikan maruah dan izzah ummah," kata Nasrudin.

Pada masa ini, terdapat seramai 135 anggota parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat atau bersaaman 61 peratus daripada keseluruhan 222 anggota parlimen.

Gesaan Nasrudin itu adalah jauh berbeza dengan slogan "PAS untuk semua" pada dua pilihan raya umum yang lalu.

PAS baru-baru ini memutuskan hubungan dengan PKR dan merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen di seluruh negara.