Wednesday, May 17, 2017

PAS tak hairan PKR nak letak jawatan di Kelantan

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Berbeza dengan Selangor dimana PAS mempunyai 13 ADUN dan tiga Exco kerajaan negeri, di Kelantan PKR hanya ada satu ADUN PKR di Kelantan dan beberapa penyelaras DUN selain Ahli Majlis.

PAS tak hairan langsung jika PKR menarik diri dari kerajaan di Kelantan kerana PKR bukan apa-apa di negeri itu.

Pentadbiran kerajaan PAS Kelantan tidak akan terjejas walaupun semua ahli PKR yang dilantik secara politik di negeri itu, meletakkan jawatan seperti arahan parti mereka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata senario politik di Kelantan berbeza dengan Selangor yang mana sebarang keputusan membabitkan tiga EXCO PAS di bawah pentadbiran PKR akan mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, katanya PAS menghormati ketetapan PKR supaya ahlinya dalam pentadbiran Kelantan meletakkan jawatan dan ia terpulang kepada pertimbangan ahli majlis kerajaan tempatan dari parti itu.

Katanya, setakat ini Kerajaan Kelantan berpendapat mengekalkan lantikan politik daripada PKR bagi meneruskan pentadbiran kerajaan yang kini berjalan seperti biasa. 
"Namun terpulang kepada PKR untuk mengekalkan mereka atau sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan tiga EXCO PAS di Selangor, Tuan Ibrahim berkata, PAS Selangor akan menunggu apa juga keputusan Sultan Selangor.

PKR malam tadi mengarahkan semua lantikan politik daripada parti itu di bawah pentadbiran Kerajaan Kelantan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta.

Sementara itu, BH Online melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ahli PKR mempunyai pilihan sama ada mahu meletak jawatan atas kerelaan atau arahan parti untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan PAS Kelantan.

Menurutnya tindakan yang dilakukan PKR dengan mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta, dibenarkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, PAS akan membincangkan dengan terperinci keputusan Biro Politik PKR yang dibuat semalam, dalam mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kuala Lumpur, esok.

"Dalam konteks PAS sebenarnya, membuat keputusan untuk mengekalkan mereka sama ada sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemegang jawatan lain yang diwakili PKR.

"Namun, kalau mereka mengambil keputusan tarik diri atau letak jawatan, itu adalah pilihan mereka sendiri," katanya.

Beliau diminta mengulas keputusan PKR yang mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta sebagai tindak balas daripada keputusan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Mengenai PAS di Selangor, Takiyuddin berkata, beliau berpandangan selagi tiada titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tiga EXCO PAS dalam kerajaan negeri itu masih perlu menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.

Katanya, ini kerana, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sendiri yang mencadangkan tiga EXCO PAS kepada Sultan Selangor sebelum Baginda melantik mereka membantu negeri.

"Jadi, kalau Azmin sudah tidak mahu khidmat tiga EXCO ini, maka beliau sendiri perlu menghadap Sultan Selangor untuk memberi cadangan sebelum Baginda membuat sendiri keputusan," katanya

.-17/5/2017

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-