Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, May 4, 2017

Permulaan politik matang Pas-Umno

MOHD AZLIM ZAINURY
4 MEI 2017
Shabery mengiringi Abdul Hadi sebelum Ahli Parlimen Marang itu bertolak ke Marang dari pulau berkenaan.

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadirannya pada majlis pelancaran program tukun tiruan Rig To Reef di Pulau Kapas di sini, adalah permulaan kepada politik matang antara Pas dan Barisan Nasional (BN).

Malah, Ahli Parlimen Marang itu turut berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana mengundang beliau untuk menghadiri program tersebut.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama ini (antara Pas dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas yang kemudiannya dibawa ke sebuah bot untuk menaikkan bubu nelayan berhampiran kawasan tukun berkenaan.

Ditanya sama ada kerjasama Umno dan Pas itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi, berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

"InsyaALLAH rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

"Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik 'hand brake' dan menyelamatkan negara dan rakyat.

“Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut meminta semua pemimpin Pas di Selangor tidak mengambil sebarang keputusan apabila Muktamar Pas ke-63 baru-baru ini meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan.

“Apa yang penting ialah semua pimpinan Selangor akan patuh kepada arahan Pusat. Adapun apa tindakan kita lihat perkembangan selanjutnya yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan mengatakan wujud usaha dan gerakan merampas Selangor melibatkan wakil rakyat PKR dan Pas dan usaha dan gerakan itu dikatakan mendapat kebenaran daripada beliau.

Ketika ditanya pemberita mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakan Pas memutuskan hubungan dengan PKR akan merugikan parti itu, katanya, soalan itu hanya sekadar andaian dan beliau tidak dapat menjawabnya.

“Soalan itu (hanya) andaian, (kalau) andaian kita tak boleh nak jawab, andaian ini benda yang berkemungkinan…kemungkinan untung, saya boleh kata untung sebagaimana yang mereka kata rugi…(hanya) andaian,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, langkah memutuskan hubungan dengan PKR diharap akan menguntungkan Pas apabila ia akan mewujudkan sikap pembangkang yang menasihat, pembangkang yang bekerjasama.

“Keadaan itu akan menimbulkan satu keadaan yang stabil kepada negara, yang boleh menguntungkan bukan sahaja dari segi politik tetapi termasuk dalam aspek ekonomi dan kerajaan,” katanya.

Sekiranya pilihan raya diawalkan di Selangor, katanya, itu terpulang kepada Selangor kerana Selangor ada Perlembangaannya sendiri, kena rujuk kepada Perlembangaan Selangor serta terpulang kepada keputusan Sultan Selangor.