Thursday, May 18, 2017

Pertembungan PAS-PKR: Apa kata ahli akar umbi

Zikri Kamarulzaman
PAS mungkin telah berpisah dengan PKR, namun tidak semua penyokong parti Islam itu dilihat bersedia untuk mrnyaksikan perpisahan itu bertukar menjadi satu pertembungan dalam pilihan raya umum akan datang.

Manakala penyokong di Selangor bersetuju bahawa PAS harus kekal dalam kerajaan negeri selepas memutuskan hubungan politik dengan PKR, tetapi untuk menyaksikan pertembungan dengan PKR masih menjadi perdebatan.

"Saya harap ia tidak berlaku, kerana ahli PKR juga Islam. Adalah untuk kebaikan umat Islam (untuk tidak berbalah sesama sendiri)," kata seorang ahli di Pandan, Darus Amran kepada Malaysiakini ketika ditemui di satu ceramah parti di situ malam tadi.

Di temui di ceramah yang sama, Mustafa Kamal Harun, 41, berkata pertembungan dengan PKR akan terus memecahbelahkan orang Melayu.

"Orang Melayu akan berpecah belah. Jika kita mahu bertanding dalam pilihan raya, kita perlu bersatu," kata Mustafa.

Tambahnya, pertembungan dengan PKR juga mungkin membawa kepada kemenangan BN.

Dua lagi penyokong PAS yang enggan namanya disiarkan, juga memberitahu Malaysiakinibahawa mereka percaya parti itu akan mencari jalan bagi mengelakkan pertembungan dengan PKR.

PAS telah menyatakan hasrat untuk bertanding di 100 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, dan berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi.

Kerusi yang kini disandang oleh PKR juga adalah di antara yang disasarkan.

Ia juga mahu mengekalkan Kelantan dan menguasai sekurang-kurangnya empat negeri lain - Terengganu, Pahang, Kedah, dan juga Selangor, yang kini diterajui oleh PKR.

Serah pada pimpinan

Walaupun ada yang tidak bersetuju untuk bertembungan dengan PKR, yang lain menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan parti.

"Kami akan ikut. Kami wala '(setia) kepada pemimpin kami, apa saja yang mereka katakan, kami ikut," kata seorang ahli PAS Pandan yang memperkenalkan dirinya sebagai Mahadi.

Sentimen tersebut turut dikongsi mereka yang dilihat berada atas pagar, seperti ahli PAS Cempaka, Ismail Yusof.

Walaupun keberatan untuk mengulas sama ada bertembungan dengan PKR adalah satu idea yang baik, namun Ismail berkata beliau akan "ikut" apa yang diputuskan oleh kepimpinan.

Pengkritik berkata pertandingan tiga penjuru cenderung untuk memihak kepada BN, kerana undi pembangkang akan berpecah.

Ahli PAS Ampang, Zulkifli Mohd Haras bagaimanapun menolak kebimbangan tersebut.

"Saya yakin orang Melayu akan kembali (mengundi) untuk PAS, jadi walaupun dalam pertandingan tiga penjuru, kita boleh menang," katanya.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-