Monday, May 22, 2017

PRU14: PAS tak beri 'talian hayat' pada Umno, kata Khalil

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kerjasama bersama Umno hari ini bukan pemberian talian hayat kepada parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Jika ia agenda yang baik, kita akan sokong. Jika tidak baik, kita akan tegur dan nasihat dengan cara yang betul.

"Ini bukan kita beri talian hayat kepada Umno-BN. Ini adalah satu politik matang yang diambil oleh PAS untuk kita menjadi sebuah negara yang maju pada masa akan datang," kata beliau dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Dua hari yang lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)) Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan partinya dan PKR serta DAP berkali-kali memujuk PAS untuk menjalin kerjasama, namun PAS enggan dan berterusan menolak tawaran mereka.

Beliau mendakwa PAS sejak akhir-akhir ini dilihat lebih mengutamakan hubungan bersama Umno, sehinggakan sanggup menolak dan menamatkan hubungan bersama rakan-rakan pembangkang lain.

"Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, pakatan pembangkang juga pun tidak mengotakan kata-kata mereka sebelum ini.

"Sebagai contoh, dalam isu berkait pembangunan Pulau Pinang mereka boleh berbincang dengan kerajaan Pusat. Boleh duduk semeja dan bergurau senda.

"Bila PAS mengambil sikap sama dalam agenda Islam yang menjadi kepentingan bersama dalam negara kita tidak kira PAS atau Umno, lalu mereka kata PAS beri talian hayat kepada Umno.

"Kononnya PAS mahu berbaik dengan Umno dan lain-lain tuduhan," jelas beliau yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai keputusan Majlis Syura Ulama yang memutuskan hubungan dengan PKR, ujar beliau, Pemuda PAS tidak merasa lebih kuat dengan berbuat demikian.

"Tetapi ini tindakan yang betul kerana dalam politik Islam, kita bukan saja melihat dari sudut kekuatan orang yang sokong kita kerana itu mengikut fahaman politik barat.

"Sesuatu yang dibuat mestilah mahu dapat sokongan ramai khususnya dalam PRU, tetapi dalam politik Islam, Pas sebagai sebuah parti bertunjangkan politik Islam yang asasnya mestilah politik benar.

"Dari sudut hubungan dengan PKR, ini adalah keputusan yang benar," katanya lagi.

Namun, tambah beliau, tindakan segelintir pemimpin PAS yang keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi kesan positif kepada parti itu.

"Alhamdulillah, saya melihat bahawa PAS pada hari ini lebih baik dan kuat daripada sebelum ini dengan keluarnya mereka yang kecewa dan menubuhkan parti baharu," menurutnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-