Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, May 11, 2017

Ulang tahun ke-71, Umno bakal karam di Johor?

Posted By: Pentadbir

Ketika Umno berkumpul untuk menyambut ulang tahunnya ke-71 dengan perhimpunan besar-besaran, sesetengah pemimpinnya kelihatan bimbang di Johor, negeri paling selatan di mana parti Melayu itu ditubuhkan.

Kemungkinan kehilangan lebih banyak kerusi negeri dan Parlimen di kubu Umno itu dibincangkan oleh pemimpin Johor secara tertutup.

Sebab bermulanya sentimen seperti itu ialah: kemarahan dalam kalangan ahli parti Johor terhadap kepimpinan Umno Pusat di bawah Presiden Najib Razak dan percaya yang pentadbirannya tidak mengendalikan isu kehidupan harian seperti inflasi dan pengangguran golongan belia.

Seorang sumber dalaman Umno berkata pemberontakan itu diterjemahkan kepada lebih banyak sokongan orang Melayu kepada gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan oleh bekas pemimpin parti termasuk bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Ketua Penerangan Umno Johor Samsol Bari Jamali bagaimanapun menafikan perkara itu, berkata momentum yang dibina “Team Johor” di bawah Menteri Besar Khaled Nordin tidak akan terpecah oleh PH dan Bersatu.

Bersatu pada masa ini meletakkan dirinya sebagai satu parti alternatif berdaya maju untuk Melayu Johor, dan ia sesuatu yang agak mengagumkan memandangkan Umno dilahirkan di negeri itu dan wakil rakyatnya tidak pernah ditewaskan sehinggalah pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Umno akan terjejas teruk pada PRU akan datang tetapi ia mungkin tidak akan karam,” kata seorang sumber dalaman parti menggambarkan prospek Umno pada PRU akan datang.

Ada yang kata, orang Melayu Johor jenisnya mereka akan tetap tersenyum kepada seseorang walaupun mereka marah padanya, terutama sekali jika orang itu keluarga sendiri, kata Shukur Mohamad, dulu ahli Umno kini Bersatu.

Keluarga ialah metafora yang digunakan ahli Umno Batu Pahat dan penyair tempatan Ramlee Wahab untuk menggambarkan ikatan antara parti itu dan ahlinya.

Umno ditubuhkan di Johor pada 1946 dalam satu pertemuan sulit antara semua persatuan utama Melayu pada masa itu untuk membantah Malayan Union.

Banyak keluarga Melayu Johor yang mempunyai keturunan aktivis sejak zaman perang pada 1940-an.

Shukur antara contohnya. Bapanya ialah bekas ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz, sementara datuknya ialah aktivis yang bekerja untuk Onn Jaafar.

“Ahli Umno Johor diajar, walaupun anda tidak gembira dengan parti, jangan cakap mengenainya secara terbuka. Ia soal keluarga,” kata Ramlee, ahli Umno Batu Pahat yang juga seorang penulis.

Maksudnya di sini ialah ahli dan penyokong Umno Johor yang tidak berpuas hati tidak akan secara terbuka mengkritik dan bangkit menentang atau meninggalkan parti, berbanding ahli dari Kedah, Selangor atau Perak.

Tetapi Ramlee berkata undi Melayu Johor akan terpecah pada PRU14, menandakan wujudnya kemarahan yang terselindung dan ia akan hanya muncul di peti undi.

Shukur yang kini menyertai Bersatu berkata partinya dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bergantung pada kemarahan itu untuk menawan lebih banyak kawasan politik.

Parti dalam PH, DAP dan PKR pada masa ini memegang empat kerusi Parlimen dan 14 DUN. PAS mempunyai tiga kerusi.

Kira-kira separuh daripada 26 Parlimen dan 5 kerusi DUN di Johor dimenangi dengan majoriti kurang daripada 6,000 undi pada PRU13, kebanyakannya kerana pengundi bandar dan bukan Melayu.

Bersatu meramalkan ia mempunyai peluang 50-50 untuk menawan mereka dengan merayu undi Melayu.

Kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kerusi itu dimenangi dengan majoriti kurang 3,000 undi dan Shukur percaya PH ada peluang cerah untuk memenanginya.

“Kami Cuma perlu bekerja lima hingga enam kali lebih kuat berbanding BN (Barisan Nasional),” kata Shukur.

Isu utama yang membakar rasa kecewa terhadap Umno ialah kenaikan kos sara hidup.

Statistik kerajaan menunjukkan komponen makanan dan minuman tidak beralkohol dalam indeks harga pengguna, yang mengesan inflasi, meningkat dari Januari 2014 hingga Oktober 2016, walaupun harga petrol jatuh beberapa kali sepanjang tempoh itu, seiring harga minyak dunia.

Shukur berkata harga barangan di Johor lebih tinggi berbanding negeri lain akibat kebanjiran pembeli dari Singapura.

Kesannya ialah peniaga dan penjual di Johor cenderung menaikkan harga barangan untuk mengeksploitasi kadar tukaran mata wang dolar Singapura kepada ringgit. 

TMI