Sunday, June 18, 2017

Apa pendirian Umno terhadap pendedahan terkini skandal 1MDB?


KENYATAAN MEDIA

OLEH: DR AFIF BAHARDIN

Angkatan Muda Keadilan mengambil maklum tindakan saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dalam usaha untuk merampas semula aset yang telah dibeli menggunakan hasil wang 1MDB yang digubah secara haram oleh individu-individu tertentu.

Pendedahan pembelian jutaan ringgit aset mewah dan barang kemas melibatkan beberapa individu termasuk model antarabangsa terkenal, Miranda Kerr, dan isteri kepada Malaysian Official 1, membuktikan bahawa skandal ini adalah skandal rasuah dan penyelewengan terbesar yang pernah disaksikan oleh negara sejak merdeka.

Kami mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya penyelewengan ini dan menuntut Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk segera mengambil tindakan undang-undang terhadap individidu warga Malaysia yang terlibat hatta ianya melibatkan pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Abdul Razak.

Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak berkuasa harus sedar bahawa tanggungjawab dan kesetiaan mereka adalah kepada negara dan undang-undang negara.

Mereka tidak harus terus mendiamkan perkara ini dan menafikan bahawa satu jenayah penyelewengan dana awam telah berlaku dan melibatkan pimpinan tertinggi negara. Kegagalan mereka untuk bertindak akan mencemar integriti mereka dan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem perundangan dan pemerintahan negara.

Angkatan Muda Keadilan juga menuntut Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin untuk menyatakan pendirian di dalam perkara ini kerana skandal sebesar ini bukan hanya merosak imej negara, tetapi juga bakal menggadaikan masa depan negara dan meruntuhkan asas terbinanya negara ini.

Kebisuan yang dipaparkan Pemuda UMNO ini amat menjengkelkan dan mengesahkan bahawa mereka sekarang ini berjuang bukan lagi demi kepentingan rakyat, tetapi merupakan sebahagian daripada regim kleptokrasi yang telah menjahanamkan negara ini.

Angkatan Muda Keadilan juga menuntut penafian dan penjelasan daripada Ketua Pemuda UMNO bahawa mereka tidak langsung menerima sebarang dana hasil daripada sumbangan 1MDB selama ini.

Angkatan Muda Keadilan juga sekali lagi mengulangi tuntutan kami agar Perdana Menteri meletakkan jawatan segera dan membolehkan proses perundangan dimulakan bagi mendapatkan semula dana awam yang telah diselewengkan ini dan menghadapkan penjenayah-penjenayah ini ke muka pengadilan.

* DR AFIF BAHARDIN adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-