Saturday, June 17, 2017

Hanya BN akan terus khidmat selepas PRU

Musa Aman
NABAWAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman optimis bahawa selepas pilihan raya akan datang hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu bertahan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, parti-parti politik pembangkang sama ada yang lama atau baharu ditubuhkan akan senyap dan menyepi apabila selesai sahaja pilihan raya.

"Percayalah bahawa dengan kehadiran parti-parti pembangkang yang muncul seperti cendawan di waktu hujan, akan lenyap selepas hujan berhenti," katanya ketika berucap pada Majlis Program Iftar Umno Zon 4 dan Perasmian Masjid Al-Hidayah, Pekan Nabawan, di sini malam ini.

Justeru, Musa mengingatkan rakyat di Pensiangan, Keningau, Tenom dan Ranau agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh serta terkeliru dengan dakyah-dakyah yang dimainkan oleh parti pembangkang.

Katanya, BN tidak gentar dengan kemunculan parti-parti pembangkang di Sabah kerana yakin dengan sokongan rakyat terhadap BN, termasuk penduduk Pensiangan, di mana masyarakatnya adalah bersatu.

"Apa juga perayaan di sini (Pensiangan), apa juga perjumpaan di sini saya dapati kehadiran yang begitu ramai... saya sangat kagum dengan rakyat di sini," katanya.

Musa juga mengingatkan rakyat di daerah ini supaya menghindarkan diri daripada dihinggapi sikap negatif seperti iri hati dan dengki kerana matlamat kepimpinan BN ialah untuk memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid serta Ketua Bahagian Umno Zon 4 iaitu Datuk Sairin Karno (Keningau), Datuk Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Seri Masidi Manjun (Ranau) dan Datuk Rubin Balang (Tenom).

Pada majlis itu, Musa turut merasmikan Masjid Al-Hidaya Pekan Nabawan yang berharga RM2 juta, selain meluluskan peruntukan pembinaan bilik jenazah serta perparitan masjid baharu itu.

Musa turut menyampaikan sumbangan kepada 13 cawangan kelas bimbingan saudara baharu di daerah Sook dan sembilan cawangan daerah Nabawan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-