Friday, June 9, 2017

Isu RM9.5 juta: Anwar fail saman batal hukuman penjara

Adam Abu Bakar
June 9, 2017

Peguam, N Surendran berkata, saman pemula itu bertujuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman pemula terhadap kerajaan dengan alasan beliau tidak mendapat perbicaraan adil susulan dakwaan sebuah portal baru-baru ini yang ketua pendakwa raya dalam kes liwatnya 2 tahun lalu menerima bayaran RM9.5 juta daripada perdana menteri.

Anwar yang diwakili peguam, N Surendran berkata, saman pemula itu bertujuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang memutuskan ketua umum PKR itu bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Dalam saman pemula ini, kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan dan susulan itu mereka yang dipanggil sewaktu perbicaraan harus datang mewakili kerajaan,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini dengan ditemani anak Anwar, Nurul Nuha Anwar dan peguam, Latheefa Koya, Sivarasa Rasiah serta Eric Paulsen.

Surendran juga berharap kes itu dapat didengar secepat mungkin kerana Anwar tidak berhak meringkuk dalam penjara walaupun sehari.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik khas bagi mengetuai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar, menerima RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi perdana menteri.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan menyabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Anwar melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.

Cubaan FMT menghubungi peguam itu tidak berjaya walaupun beberapa pesanan WhatsApp sudah dihantar kepadanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-