Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, June 11, 2017

Liew tak patut dihalang edar kurma, kata BERSATU

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun bukan beragama Islam, Liew Chin Tong dari DAP sepatutnya tidak dihalang daripada mengedarkan buah kurma kepada umat Islam yang mengunjungi bazar Ramadhan di Kluang, Johor semalam.

"Beliau sepatutnya tidak dihalang daripada berbuat demikian apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat.

"Lebih-lebih lagi beliau adalah seorang ahli Parlimen yang mana menjadi tanggungjawab beliau untuk mendekati masyarakat di kawasannya tanpa mengira kaum dan agama

"Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak kasar kepada sesiapapun. Malah, Islam menuntut umatnya supaya bersikap rahmah atau mengasihi sesiapa sahaja," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, Liew yang merupakan ahli Parlimen Kluang dan rombongannya dihalau dari bazar Ramadan di Kluang semalam ketika mengagih-agihkan sumbangan buah kurma kepada orang ramai.

Kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 5.45 petang merupakan insiden kali kedua kepada Liew dalam tempoh tiga tahun.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau berasa amat kecewa dan sedih dengan insiden tersebut kerana setiap orang yang beragama Islam sepatutnya menampilkan akhlak Islam yang sebenar.

"Dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, penting untuk kita memupuk semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara sesama insan walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik.

"Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar," tambah beliau.

Beliau berdoa mudah-mudahan semua beroleh rahmah dan maghfirah Allah di bulan Ramadan yang mulia ini, katanya lagi.