Friday, June 23, 2017

Muhyiddin kenapa Najib tak tegur Dr M 25 tahun lalu?

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan mengapa selama ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdiam diri dalam isu kerugian tukaran asing (Forex) oleh Bank Negara Malaysia.

Muhyiddin berkata, keputusan kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal itu selepas lebih dua dekad berlalu adalah sesuatu yang aneh.

"Jika benar Najib hendak mencari kebenaran dalam isu kerugian urusniaga ini, beliau sepatutnya telah bersuara mengenainya ketika beliau berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir 25 tahun yang lalu.

"Jika tidak di dalam kabinet, beliau boleh menyuarakannya di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang mana pada ketika itu beliau adalah naib presiden," kata Muhyiddin dalam kenyataan media hari ini.

Muhyiddin berkata beliau tidak ingat sama ada Najib pernah menyuarakan hal itu dan menegur Mahathir dalam mana-mana mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada ketika itu.

"Begitu juga ketika saya berada di dalam kabinet Tun Mahathir bersama-sama beliau pada ketika itu, saya tidak pernah ingat Najib membangkitkan perkara ini dalam mana-mana mesyuarat kabinet," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan Kabinet bersetuju untuk membentuk RCI bagi menyiasat kerugian tukaran mata wang berjumlah berbilion ringgit pada tahun 1980-an.

Kerajaan juga mendakwa, pasukan petugas yang meneliti skandal tersebut mendapati wujudnya unsur-unsur mengaburi fakta-fakta tertentu.

Pengumuman ini susulan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang membuat tuntutan jenayah sivil yang berkaitan 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-