Sunday, June 4, 2017

NFC: Ladang ada, mana lembunya?

04 Jun 2017 | MALAYSIA DATELINE
Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub mendesak kerajaan menjelaskan status National Feedlot Corporation (NFC) yang ditubuhkan untuk menjadi sebuah syarikat pengedar daging lembu kepada seluruh negara.

"Selepas skandal yang berlaku membabitkan syarikat tersebut, ternyata ia seperti suatu pembaziran yang nyata," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan bersama Amanah Johor ke ladang di Segamat yang dikatakan ladang untuk ternakan lembu bagi syarikat NFC.

Namun katanya, ia cukup mendukacitakan kerana apa yang disaksikan hanya sebuah padang rumput hijau yang luas dan lembu yang hanya wujud dalam bilangan kecil saja, jauh tidak mampu untuk dijadikan sebagai pengedar ke seluruh negara.

"Ini adalah suatu perkara yang cukup memalukan dan ia jelas memanipulasikan keadaan bagi mengaut keuntungan hanya bagi individu tertentu yang jelas telah menipu rakyat dengan meletakkan projek yang kononnya akan menjadi projek untuk membantu meringankan beban rakyat," katanya.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan ini adalah jelas menunjukkan pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) mempersendakan rakyat Malaysia seluruhnya dan ia suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah kerajaan yang membawa slogan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya merasa terhina dengan apa yang berlaku hari ini dan ini menunjukkan kerajaan yang ada selama ini hanya menjaja kata-kata kosong bagi memenangi hati rakyat dan perbuatan yang mereka pratikkan boleh dilihat sebagai suatu kesinambungan yang dangkal," katanya.

Kontroversi NFC bermula selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2011 menyatakan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar (2,023 hektar) di Gemas, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-