Kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man itu bercanggah dengan kenyataan Dr Khairuddin Aman Razali mengenai isu penglibatan PAS dalam Jawatankuasa Tindakan 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2017.
PAS akan berbincang sama ada akan menyertai atau tidak jawatankuasa tindakan 1MDB yang ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, beliau masih belum melihat surat jemputan yang dihantar Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.
"Saya belum lihat lagi surat tersebut.
"Parti akan bincang dan akan buat kenyataan kemudian," kata Tuan Ibrahim kepada The Malaysian Insight.
Pada sidang media di Parlimen hari ini, Dr Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa semua parti pembangkang di Malaysia termasuk PAS untuk mengetepikan perbezaan dan bekerjasama membawa mereka yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu bercanggah dengan Ahli Jawatankuasa PAS Dr Khairuddin Aman Razali yang mengatakan parti Islam itu menolak pelawaan PH untuk bekerjasama dalam isu 1MDB.
"PAS ada cara kita sendiri, kita tidak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan kita tidak bersama Pakatan Harapan, kita bawa cara kita dan kita bertindak tidak mengikut cara orang melibatkan isu 1MDB," kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu seperti dilaporkan sebuah portal.
Dr Wan Azizah hari ini mengumumkan pembangkang akan mengadakan perhimpunan rakyat pada September sebagai protes terhadap skandal 1MDB susulan langkah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa dicuri daripada syarikat sarat hutang itu.
Dr Wan Azizah berkata mereka turut menubuhkan jawatankuasa tindakan 1MDB yang akan menyelenggarakan program itu.
"Jelajah ini akan dijalankan ke seluruh negara dan berakhir dengan perhimpunan rakyat pada September," katanya yang juga presiden PKR itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata jelajah ke seluruh negara itu bertujuan memberikan penerangan terkini isu skandal penyelewengan dana 1MDB.
Setakat ini, parti komponen PH seperti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sudah bersetuju untuk bersama. Selain itu, jawatankuasa tindakan 1MDB turut disokong Parti Warisan dari Sabah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.