Friday, June 16, 2017

Rosmah ingatkan rakyat jangan percaya fitnah

Anne Muhammad
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.

Katanya, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.

“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial telah dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat.

“Natijahnya orang yang difitnah terus menjadi mangsa dan masyarakat akan dimomokkan dengan perkara tidak benar,” kata Rosmah dalam ucapannya sebelum memberi sumbangan Hari Raya di Kementerian Pertahanan Malaysia Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, hari ini.

Peringatan Rosmah itu dibuat ketika Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DOJ pada tahun lalu adalah Najib.

Dalam kenyataan terbarunya semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh dakwaan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Sebelum itu Rosmah dalam ucapannya beliau menyentuh mengenai keamanan sejagat dan katanya semua pihak harus melihat peperangan itu bukan sahaja menggunakan senjata di medan tempur, kini perang siber juga adalah sebahagian dari bentuk peperangan yang boleh menggugat keamanan negara.

Beliau turut menyeru rakyat supaya meneliti fakta terlebih dahulu sebelum mempercayai segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin.

“Justeru, dalam konteks ini, saya menyeru rakyat jangan mudah terpedaya dengan fitnah yang di putar-belit di media sosial. Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun, dan kita harus menyediakan masyarakat kita untuk menjadi masyarakat berfikir.

“Rakyat Malaysia janganlah mudah terpedaya dengan tohmahan, malah meneliti kesahihan fakta yang dilemparkan serta menyiasat kebenaran cerita tersebut.

“Hakikatnya fitnah adalah suatu jenayah kerana ia suatu rekaan daripada peristiwa yang tidak benar. Tujuannya adalah untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-