Saturday, June 10, 2017

SPRM akan panggil pengurusan, pengerusi FGV

Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi termasuk pengurusan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berhubung siasatan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata semua saksi termasuk pengerusi FGV akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan.

"Semalam SPRM telah mengambil dokumen-dokumen yang diperlukan dari pejabat FGV dan sekarang pegawai saya tengah teliti serta mengkaji (dokumen) dan melihat kepentingan untuk memanggil saksi untuk direkodkan keterangan.

"Saksi itu tidak kira sesiapa sahaja termasuk di peringkat kepimpinan serta pengerusi FGV tertakluk kepada dapatan daripada kajian dokumen yang pegawai saya sedang teliti serta fakta kes," katanya kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan SPRM di Masjid Al Jamiul Badawi, Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata siasatan kes akan diselesai secepat mungkin namun akan mengambil sedikit masa sekiranya dokumen serta siasatan melibatkan pihak di luar negara.

Dzulkifli berkata pihaknya juga menerima beberapa laporan berhubung siasatan FGV itu, namun enggan mendedahkan sama ada laporan berkenaan dibuat membabitkan salah guna kuasa atau rasuah.

"Saya tidak boleh maklumkan siasatan kes itu menjurus kepada rasuah atau penyelewengan kuasa kerana ia sedang disiasat dan cuma saya boleh pastikan siasatan tersebut akan dibuat secara terperinci, profesional serta telus," katanya.

Semalam sepasukan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa selama lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad di Tingkat 45 Menara Felda di Kuala Lumpur.

Zakaria tampil di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau dilapor memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

Selasa lepas Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-