Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, June 28, 2017

Tidak ada bukti isteri MO1 terima barangan kemas, kata JASA

Tidak ada bukti bahawa ‘isteri Malaysian Official 1' (MO1) menerima atau menyimpan set barangan kemas seperti yang didakwa oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ), kata seorang anggota badan propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Tun Faisal Ismail Aziz, yang adalah anggota panel penasihat JASA, berkata set barangan kemas itu hanya sekadar "cerita" dalam aduan yang dibuat kepada DOJ.

“Tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB yang didakwa dicuri, tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1,” katanya dalam posting di Facebook hari ini.

Menurutnya, DOJ juga tidak menyenaraikan set barangan kemas itu sebagai aset yang mahu dirampasnya yang membuktikan jabatan itu sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas itu dan dakwaan terhadap isteri MO1.

Kerajaan menolak saman DOJ untuk merampas aset berkaitan 1MDB atas alasan tindakan undang-undang itu semata-mata berasaskan aduan oleh mereka yang mentang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dua minggu yang lalu, DOJ memfailkan saman sivil ketiga yang mendakwa antara lain bahawa wang yang didakwa diselewengkan dari 1MDB telah digunakan untuk membeli 28 set barangan kemas, termasuk rantai berlian AS$27.3 juta untuk isteri MO1.

Walau bagaimanapun, tidak ada satu pun daripada 28 set barangan kemas itu adalah antara aset yang cuba dirampas oleh DOJ.

Sebaliknya, DOJ memberitahu Malaysiakini bahawa fakta mengenai sumber dana itu sangat relevan dengan tuduhan yang dibuat bahawa dana 1MDB digunakan untuk membeli barangan kemas untuk isteri MO1.
DOJ telah memperincikan pembelian barangan kemas untuk isteri MO1 dalam dokumen saman 251 halamannya.

Pada halaman 100, dari perenggan 346 hingga 348, adalah bahawa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan dana yang didakwa oleh MO1 telah dikembalikan kepada "penderma".

Ia memperincikan tentang pembelian berlian itu pada halaman 224 hingga 228, dari ayat 846 hingga ayat 863.

Pemfailan yang sama juga menyenaraikan 27 set barangan kemas yang diberikan kepada isteri MO1 bernilai sejumlah AS$1.3 juta.

Walaupun MO1 dan isterinya tidak dinamakan oleh DOJ, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tuntutan mahkamah berkenaan membabitkan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor.

Abdul Rahman pada tahun lalu juga mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.
Bagaimanapun, beliau berkata hakikat bahawa Najib tidak dinamakan dalam saman itu menunjukkan bahawa perdana menteri tidak menjadi subjek siasatan.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, baru-baru ini firma guaman yang mewakili Rosmah memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap anak guam mereka.