Saturday, June 3, 2017

Tun M mahu jadi PM untuk mudahkan Mukhriz naik atas

By Muhamad Izwan Mohd Zubit
Badrul Hisham Shaharin
KUALA LUMPUR – Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin yang berjuang semasa era reformasi menentang kekejaman Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bekas perdana menteri itu mahu jalan mudah untuk melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke takhta kuasa.

Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard itu berkata, tindakan Mahathir yang menyatakan hasratnya secara terbuka mahu menjadi perdana menteri semula memperlihatkan tujuan sebenar beliau yang berbaik semula dengan parti pembangkang yang suatu ketika dahulu adalah musuhnya.

“Saya dan teman-teman sudah menjangkakan dan itulah yang kami beritahu bahawa Mahathir mahu mengambil alih kuasa bagi memastikan Mukhriz anaknya menjadi perdana menteri bagi memelihara harta kekayaan kroni dan proksinya.

“Cuma peliknya kelihatan rakan-rakan pembangkang seperti dibutakan fakta ini kerana keghairahan kononya untuk merampas Putrajaya,” kata Badrul Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Mahathir tersebut menurut Badrul Hisham hanya menunjukkan kelemahan Pakatan Harapan (PH) memandangkan majoriti pimpinan pembangkang masih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Majoriti pimpinan dan jentera PH sebenarnya masih yakin Anwar jauh lebih layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 daripada Mahathir yang terpalit dengan perbagai kes korupsi dan penyelewengan sehingga kekayaan keluarga, kroni dan proksinya yang tidak terhitung.

“Kenyataan Mahathir ingin menjadi perdana menteri juga satu yang lucu dan menggambarkan nafsu buasnya kerana PKR milik Anwar mempunyai jauh lebih banyak bilangan kerusi dari parti Bunga Raya (PPBM) yang hanya ada satu kerusi parlimen sahaja,” katanya lagi.

Katanya lagi, Mahathir belum tentu menang jika bertanding dalam pilihan raya nanti tapi masih berangan untuk menjadi perdana menteri walhal rekod buruk pentadbirannya belum tentu menjamin kemenangan dalam pilihan raya nanti.

“Mahathir belum tentu menang bertanding sudah berangan menjadi Perdana Menteri semula. Mahathir perlu istyihar mahu bertanding di kawasan mana?

“Dengan rekod korup dan jenayah pentadbiran yang tidak terjawab Mahathir akan kalah walaupun bertanding semula di Kubang Pasu pun,” katanya.

Badrul Hisham tidak menyembunyikan kebimbangan sejarah semasa era reformasi tahun 1998 akan berulang apabila ramai yang dipenjara dan dilayan dengan zalim.

“Pengumuman Mahathir akan menjadi perdana menteri semula akan mengimbau zaman diktator zalimnya khususnya era pemecatan Anwar dimana segala aparat kerajaan dan ruang undang-undang digunakan untuk menindas.

“Jika dia menjadi perdana menteri semula dia akan lebih ganas memastikan anaknya menggantikan dia sesegera mungkin,” katanya.

Menurut Badrul Hisham lagi, Mahathir merupakan seorang manusia yang tamak dan zalim serta sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri dan kroni-kroninya.

“Mahathir ialah manusia tamak dan zalim yang akan memanipulasi semua keadaan bagi keuntungan diri dan kini tumpuanya ialah memastikan anaknya menjadi Perdana Menteri bagi memastikan keselamatan legasi serta kekayaan keluarga, proksi dan kroninya terpelihara,” katanya.

 – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-