Monday, July 24, 2017

Azalina minta pembangkang fokus isu rakyat

Oleh NUR ASLINDA NASIR
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Azalina Othman Said meminta pihak pembangkang memfokuskan isu rakyat terlebih dahulu daripada mengitar semula isu yang sama iaitu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia berikutan tindakan pembangkang yang mendakwa Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai isu 1MDB.

Jelas Azalina, perbuatan tersebut adalah langsung tidak berasas kerana menuduh kerajaan tidak menjawab satu pun soalan 1MDB di dalam Dewan Rakyat.

“Tindakan Pembangkang memperbesarkan isu ini hanya menunjukkan mereka ketandusan isu untuk dibawa ke Parlimen. Pembangkang seharusnya memberi keutamaan kepada isu rakyat setempat di kawasan masing-masing dan bukannya mengitar semula isu yang sama.

“Saya berharap semua Ahli-Ahli Parlimen khususnya Pembangkang memanfaatkan tempoh 12 hari persidangan ini serta mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada hari pertama sidang Dewan Rakyat Penggal Kelima ini terdapat empat soalan mengenai 1MDB iaitu daripada Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen, Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke dan Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Soalan-soalan yang tidak tersenarai mungkin berada dalam pertimbangan mahkamah atau bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Awal hari ini beberapa ahli parlimen pembangkang membuat kecoh kononnya soalan mereka telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tanpa alasan yang kukuh.

Bagaimanapun Timbalan Speaker, Datuk Seri Mohamad Ismail Said menegaskan semua soalan yang dibangkitkan adalah ‘subjudice’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-