Wednesday, July 5, 2017

Azmin henti main mata dengan Pas, tubuh segera PH Selangor - Amanah

Posted By: Pentadbir

Pemimpin Amanah Selangor mendesak Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berhenti memikat PAS untuk membentuk pakatan pilihan raya, sebaliknya hanya fokus pada pembentukan sekretariat Pakatan Harapan (PH) peringkat negeri bagi berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pengerusinya Izham Hashim berkata di Selangor DAP, Amanah dan Bersatu sudah bersetuju untuk penubuhan sekretariat PH tetapi tergendala kerana PKR.

“Apa masalahnya? Dia kena ikut keputusan parti, keputusan PKR ialah untuk bentuk PH.

“Bentuklah. Peringkat nasional sudah bentuk PH, peringkat negeri dan peringkat kawasan pun kena bentuk juga,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Izham berkata walaupun Selangor masih belum membentuk gabungan itu, terdapat beberapa kawasan di negeri itu yang sudah ada sekretariat PH seperti Shah Alam dan Kapar.

Katanya, tindakan PKR memikat PAS juga tidak realistik kerana partinya dan Bersatu akan bertanding di semua 20 kerusi DUN yang ditandingi PAS pada PRU13.

“Kalau kita nak berkongsi pun dengan Bersatu saja kerana mereka tiada kerusi juga,” katanya yang juga timbalan pengarah strategi Amanah.

“Kerusi yang majoriti besar Melayu, kita akan beri kepada Bersatu untuk bertanding. Kita akan berunding dengan Bersatu. PKR ada kerusi dia, sudah banyak.

“DAP pun banyak kerusi. Yang tiada kerusi sekarang Amanah dan Bersatu,” katanya.

Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmi menyokong kenyataan Izham, berkata jika PH tidak ditubuhkan di negeri itu, rakyat mungkin akan terkeliru pada PRU14.

“Pemuda Amanah, DAP, PKR dan Bersatu sudah mula dan bermesyuarat setiap dua bulan. Hubungan sesama kami cukup erat.

“Jadinya, Pemuda pendesak utama kepada negeri Selangor untuk tubuhkan sekretariat PH negeri dengan segera,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hujung minggu lalu media melaporkan Izham sebagai berkata PH akan tumbang di Selangor pada PRU14 jika PKR terus bekerjasama dengan PAS.

Beliau yang juga ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata pengundi bukan Melayu akan menolak PH jika PKR masih bersama PAS dan kerajaan Selangor akan tumbang pada PRU14.

Katanya, PKR Selangor boleh berkongsi kerusi mereka pada masa ini dengan PAS pada PRU14 jika berminat untuk terus bekerjasama di luar kerangka PH.

The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan reaksi Azmin yang juga menteri besar Selangor berhubung isu ini.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Izham berkata beliau memahami jika Azmin masih mahu mengekalkan exco PAS di Selangor pada ketika ini, tetapi PH tetap perlu ditubuhkan.

“Tidak mengapa PAS ada dalam exco, kita faham, ini urusan istana. Tapi kita kena kukuhkan PH, tentukan agenda kita.

“Sejak menjadi menteri besar, Azmin tidak pernah ambil inisiatif bertemu keempat-empat parti di Selangor.

“Dulu masa Khalid Ibrahim jadi menteri besar Selangor, kerap Pakatan Rakyat (PR) adakan pertemuan. Menjelang PRU13 kami bertemu hampir setiap minggu,” katanya yang mewakili PAS dalam mesyuarat PR Selangor sebelum ini.

Izham berkata beliau bimbang jika pengundi bukan Melayu yang memenangkan PR pada PRU12 dan PRU13 di Selangor tidak keluar mengundi pada PRU14 kerana tidak jelas mengenai PH.

“Kalau esok pilihan raya diumumkan, macam mana kita nak bertanding dalam keadaan kukuh dan padu?

“Tambahan lagi, pengundi bukan Melayu mungkin tidak akan keluar mengundi sebagai protes sekiranya kita terus bekerjasama dengan PAS,” katanya.

Izham turut mengingatkan PKR tentang pengorbanan dua bekas Adun PAS Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang menyebabkan mereka masih memerintah Selangor.

“Tanpa dua Adun kami, kerajaan Selangor mungkin sudah tumbang kepada PAS yang mahu menubuhkan kerajaan Selangor dengan Umno sewaktu krisis menteri besar dulu.

“Azmin tak perlu bimbang, yang menjadi jentera PAS dulu membantu PKR di Selangor dan negeri lain kebanyakannya sudah berada dalam Amanah.

“Kalau dari sekarang kita bentuk pasukan dengan satu logo dan segala macam, tiga penjuru atau lebih bukan masalah kepada kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-