Wednesday, July 26, 2017

Bersama Dr Mahathir peluang terbaik tukar kerajaan pada PRU14

Low Han Shaun, Bede Hong
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais (kanan) bercakap semasa forum 'Mahathir: Agen Perubahan atau Agen Pemusnah?' di Kuala Lumpur malam tadi. Ia membincangkan peranan Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan untuk memimpin gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2017.

PEMIMPIN pembangkang dan aktivis berbelah bahagi dengan peranan Dr Mahathir Mohamad, tetapi hampir kesemua hadirin pada forum gamat yang diadakan malam tadi bersetuju yang bekas perdana menteri itu berada pada saat yang tepat walaupun salah memerintah negara selama 22 tahun.

Ada yang mengatakan Dr Mahathir tidak wajar diberi jawatan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) di sebalik terdapat pandangan yang beliau adalah taruhan terbaik untuk meraih sokongan orang Melayu yang menyokong Umno sejak Merdeka, 60 tahun dulu.

“PH hari ini adalah terdiri daripada koleksi mangsa Dr Mahathir. Saya ditahan dua kali di bawah Anta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Hishamuddin Rais juga ditahan dua kali,” kata presiden Amanah Mohamad Sabu yang merupakan seorang daripada panel forum, “Mahathir: Agen Perubahan atau Agen Pemusnah?”, malam tadi.

Forum yang disertai kira-kira 200 orang itu turut dihadiri Ahli Parlimen Parti Sosialis Malaysia Michael Jeyakumar Devaraj, aktivis sosial Haris Ibrahim dan Hishamuddin Rais.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sokongan orang ramai penting untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dan hanya Dr Mahathir yang boleh mainkan peranan menarik akar umbi.

“Bagi saya, perubahan dalam kerajaan memerlukan sokongan orang ramai, tanpanya kita tidak boleh buat apa yang diingini, demonstrasi atau protes tetapi kerajaan tidak akan peduli.

“Inilah sebabnya mengapa saya pilih untuk berdamai dengan Dr Mahathir,” katanya kepada hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor.

Turut bersetuju dengan Mat Sabu adalah Hishamuddin yang berkata Dr Mahathir boleh memainkan peranan dalam menyokong PH untuk menarik pengundi luar bandar.

“Dahulu kita tidak boleh pergi ke kawasan majoriti Melayu. Kini PH boleh pergi ke kawasan itu. Ini adalah perkembangan yang sedang berlaku. Ini adalah saat kritikal,” katanya.

Berhubung permintaan untuk PH menamakan calon perdana menteri, Hishamuddin berkata, “Mereka belum beli kerbau lagi dan kita tanya mereka di mana nak letak, apa nama kerbau itu. Menang kerajaan dahulu.”
Sebahagian peserta forum 'Mahathir: agen Perubahan atau Pemusnah' yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2017.

Haris bagaimanapun memgambil pendirian berbeza dengan mengatakan Dr Mahathir sendiri adalah lambang politik berdasarkan bangsa dan beliau tidak harus dibawa ke pihak pembangkang.

“Saya tidak melihat bukti sejak tiga tahun lalu yang 'Mahafiraun' sudah bertaubat dengan kesalahannya terhadap negara," katanya.

“Baginya (Dr Mahathir), beliau tidak mengambil wang, ia menunjukkan pencuri India lebih bijak daripada pencuri Bugis,” katanya merujuk kepada keturunan India dan Indonesia bagi Dr Mahathir dan Najib.

Michael berkata PH perlu berdepan fakta ia akan kehilangan identiti dalam proses memenangi kerajaan.

“Pasti anda akan dapat lihat BN 2.0 dan menjadi perjuangan sukar untuk mewujudkan masyarakat lebih baik,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir dan bekas pemimpin Umno yang menyertai PH.

Sementara itu, G. Elantirayan, 29, yang merupakan peserta forum itu berkata tiada salahnya bagi Dr Mahathir menyertai pembangkang.

“Namun secara peribadi, beliau tidak seharusnya mendapat kedudukan yang tinggi. Saya mengalu-alukan Dr Mahathir membuka pintu, tetapi biarlah pimpinan Pakatan sebenar membuat kerja,” katanya.

Sharan Raj, 24 pelajar kejuruteraan Uniten berkata agak meragui Dr Mahathir.

“Beliau banyak melakukan kerosakan kepada pendidikan percuma dengan penswastaan bagi membantu kroninya. Beliau mungkin boleh membawa undi Melayu, tapi pasti ada tukarannya. Beliau menukarkan undi Gen-Y untuk undi masyarakat luar bandar,” katanya. 

26 Julai, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-