Tuesday, July 25, 2017

Bukan setakat Permatang Pauh, PAS akan tanding semua kerusi PKR

 AIDCNEWS
AIDCNews -25/07/17 –Bukan hanya di Parlimen Permatang Pauh, PAS juga berhasrat bertanding di semua kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ini kerana kata Mohd Amar hubungan tahaluf siyasi dengan PKR telah terputus, maka PAS berhak bertanding di semua kerusi yang difikirkan perlu.

“Kita lawan, lawan tetap lawan, menang kalah nombor dua. Kalau lawan satu sama satu, Alhamdulillah. Kalau tiga penjuru pun kita lawan juga.

“Setakat ini memang dah (kita lawan) sebab kita tidak ada hubungan dengan PKR, jadi mana-mana kerusi PKR kita akan bertandinglah…itu terserah kepada kita,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, PAS tidak mempunyai masalah mencari calon untuk berdepan dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Di Permatang Pauh, calon ramai jadi tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, PAS kini sedang melakukan kajian untuk meletakkan calon di kawasan berpotensi menang pada PRU14 termasuk di kerusi milik DAP.

“Kita sedang membuat kajian selain daripada kerusi tradisi.

“Kita akan kaji kerusi PKR dan DAP,” katanya.

Baru-baru ini Naib Presiden PAS Idris Ahmad melancarkan jentera pilihan raya parti Islam itu di Permatang Pauh yang sinonim dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang mengatakan PAS cuba melakukan provokasi.

Semalam, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin yang baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya gabungan itu mengatakan mereka sudah bersedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

PAS kini menubuhkan Gagasan Sejahtera yang akan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan PH pada PRU14.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-