Friday, July 14, 2017

Di mahkamah pun, Dr Mahathir serang Najib

Muzliza Mustafa

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menjadi saksi kes saman fitnah difailkan anaknya. Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Julai, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau mencuba untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak sejak 2014 hinggalah sekarang.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam defendan Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Mukhriz terhadap setiausaha akhbar Najib, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.

Dalam keterangannya, Dr Mahathir memberitahu mahkamah Najib yang mencemarkan imej Malaysia, bukan dirinya.

“Nama Malaysia buruk pada masa sekarang, bukan sebelum ini,” katanya.

Dr Mahathir menjadi saksi kedua yang dipanggil memberi keterangan hari ini.

Terdahulu, peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla menyerahkan keterangan bertulis Dr Mahathir kepada mahkamah berhubung kes saman fitnah itu.

Dokumen 10 halaman itu mengandungi soalan dan jawapan berkenaan kenyataan berunsur fitnah dibuat Tengku Sarifuddin yang disiarkan di media.

Sebelum itu, plaintif iaitu Mukhriz memberi keterangan dalam sesi soal balas di mana beliau ditanya mengenai saman yang difailkan terhadap Tengku Sarifuddin.

Kebanyakan soalan berkaitan dengan perkara teknikal dan penggunaan perkataan dalam artikel itu yang didakwa mengandungi kenyataan memfitnah.

Haniff kemudiannya memberitahu The Malaysian Insight yang keterangan Dr Mahathir hari ini mempunyai kesan besar untuk menidakkan dakwaan dia sedang mengatur perjalanan politik anaknya, Mukhriz untuk menjadi perdana menteri.

Najib Razak sebelum ini berkata yang tindakan Dr Mahathir yang cuba menyingkirkannya didorong kepentingan peribadi dan pentingkan diri sendiri.

“Soalan plaintif semua ditulis dalam kenyataan yang ditandatangani Dr Mahathir di mahkamah hari ini. Salinan juga diberikan kepada peguam defendan.

“Soalan peguam plaintif tidak ditanya secara terbuka di mahkamah, tetapi defendan dibenarkan untuk menyoal balik saksi di pihak Mukriz,” kata Haniff.

Mukhriz memfailkan saman fitnah terhadap Tengku Sarifuddin pada 3 Mei tahun lalu.

Beliau mendakwa Tengku Sarifuddin mengeluarkan empat kenyataan media berunsur fitnah terhadapnya iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau memberikan notis menerusi kenyataan media pada 21 April meminta Tengku Sarifuddin menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Perbicaraan ditangguhkan pada 19, 20 dan 21 Oktober.

 – 14 Julai, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-