Monday, July 24, 2017

Giliran Dr Mahathir cabar Hishammuddin tanding di Langkawi

Adam Abu Bakar
July 24, 2017

Bekas perdana menteri itu mencabar Hishammuddin Hussein bertanding di Langkawi selepas menteri pertahanan itu mencabar beliau bertanding di Pekan, semalam.
KUALA LUMPUR: Selepas dicabar bertanding di Pekan, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertanding di Langkawi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ia selepas tindakan naib presiden Umno itu mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti dan mencabar pengerusi Pakatan Harapan itu bertanding di Pekan pada PRU14.

“Saya cabar dia bertanding di Langkawi,” kata bekas perdana menteri itu ringkas sebagai menjawab soalan wartawan mengenai kesanggupan Hishammuddin mempertahankan Najib, di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Hishammuddin menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu untuk bertanding di Pekan pada PRU14 sebagai kenyataan bersifat populis.

Menteri pertahanan itu berkata, kenyataan pengerusi PPBM itu bertujuan mengganggu tumpuan ahli Umno ketika parti itu sibuk mengadakan persidangan perwakilan bahagian.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa Pekan ialah kawasan pelik kerana jumlah pengundi didapati meningkat secara mendadak pada setiap pilihan raya.

“Ada benda yang pelik sikit di Pekan. Ada satu masa jumpa pengundi seramai 35,000 orang dan Najib menang. Bila berlaku sekali lagi pilihan raya, pengundi meningkat kepada 85,000 orang.

“Tidak tahu mereka datang dari mana dan sudah tentu dia menang dengan ribuan undi. Jadi, itu bukan kawasan pilihan raya, itu kawasan hantu raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-