Saturday, July 15, 2017

Kerajaan sedih dituduh zalim

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 JULAI 2017
Najib
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pembangkang berhenti melemparkan tuduhan kepada kerajaan tanpa sebarang bukti.

Beliau berkata, kerajaan sedih pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar, malah menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk semua negeri setiap tahun, termasuk negeri diperintah pembangkang.

"Dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain.

“Malah jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun. Pada 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion,” katanya menerusi catatan di laman blognya, www.najibrazak.com, semalam.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang sering mengutarakan isu yang dikitar semula termasuk menuduh Kerajaan Pusat mengabaikan negeri pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, walaupun kerajaan telah berkali-kali menjawabnya.

“Malah baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan pusat mengabaikan Kedah sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Najib menjelaskan daripada 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion termasuk peruntukan RM378.85 juta disebabkan kekurangan akaun mengurus, diikuti Pulau Pinang yang menerima RM950.44 juta untuk tempoh sama.

Menurutnya, Selangor pula menerima RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun.

Najib menjelaskan, jumlah berkenaan tidak termasuk projek kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan projek lain.

"Kita (kerajaan) sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia tidak kira di negeri pembangkang atau negeri yang ditadbir BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-