Friday, July 14, 2017

Mahathir cabar Najib ke 'Nothing To Hide 2.0'

Tun Dr Mahathir bin Mohamad hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbalas hujah dengannya dalam satu pentas.

Ini susulan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menganjurkan acara “Nothing to Hide 2.0” pada tempat dan tarikh yang belum diumumkan.

“Saya mencabar Najib Razak untuk hadir pada Nothing to Hide 2.0 yang akan berlangsung bagi menjawab segala tohmahan ke atas diri beliau.

“Saya sendiri akan hadir dan menjawab sebarang pertanyaan rakyat Malaysia. Berani kerana benar,” tulisnya di Facebook.

Pemuda BERSATU pada 11 Jun lalu mengumumkan acara itu yang pada mulanya dirancang diadakan pada hujung bulan lepas.

Dalam video yang dimuat naik ke Internet, Mahathir berkata beliau gembira dengan perangkaan Pemuda BERSATU kerana memberi peluang mereka berdua menjawab tuduhan terhadap diri masing-masing.

“Bagi saya rancangan ini akan memberi peluang untuk penjelasan terhadap tuduhan-tuduhan dan fitnah yang dilempar terhadap diri saya.

“Demikian juga Datuk Seri Najib berpeluang untuk menjawab segala tuduhan terhadap dirinya,” katanya.

Mahathir berkata program itu juga dalam memberikan rakyat peluang untuk membuat pertimbangan terhadap hujah masing-masing.

“Jumpa di Nothing to Hide. Saya harap Datuk Seri Najib takkan kecewakan rakyat,” katanya.

Pada 5 Jun tahun lepas, Mahathir mencuri perhatian apabila hadir ke acara Nothing to Hide di ibu negara yang dilihat bakal mempertembungkan beliau dengan Najib.

Najib tidak hadir ke acara dialog itu dan polis memberikan alasan keselamatan. Mahathir juga diberhentikan ketika sedang berucap dan diiring keluar oleh pihak berkuasa.

-MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-