Monday, July 17, 2017

MRT ialah cenderahati Najib kepada negara, kata menteri

MRT Fasa 2 Sg Buloh-Kajang dilancarkan hari ini dan dijangka mengurangkan 160,000 kenderaan yang masuk ke ibu kota.Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Suffari, 17 Julai, 2017.

WALAUPUN menelan belanja besar, Transit Aliran Massa (MRT) ialah cenderahati daripada Perdana Menteri Najib Razak kepada negara, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.

Projek MRT itu yang menghubungkan Sg Buloh ke Kajang dibina untuk rakyat, kata Salleh menerusi catatan blognya hari ini.

“Ini adalah cenderahati PM untuk negara. Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara,” tambahnya.

Menurut Salleh, MRT yang menelan belanja RM21 bilion dan memulakan pembinaan pada 8 Julai 2011 dijangka memberi faedah kepada dua juta penduduk Lembah Klang.

Kejayaan MRT, kata Salleh, membuktikan yang kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Kedua, kerajaan tidak mendiskriminasikan negeri yang dikuasai parti yang tidak sehaluan dengannya.

“Ketiga, pembinaan MRT ini membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara.

“Keempat, kita mempunyai kemudahan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara maju,” kata Salleh yang juga merupakan Senator Dewan Negara.

Katanya MRT dijangka dapat mengurangkan 160,000 kenderaan yang masuk ke ibu kota setiap hari. 

Salleh menambah yang MRT mengangkat Malaysia ke kedudukan ke 11 dalam Indeks Persaingan Global 2016-2017.

“Kedudukan Malaysia ini adalah lebih baik daripada negara Asean yang lain seperti Indonesia (36), Thailand (37), Vietnam (63), Filipina (90) dan Laos (110),” kata Salleh.

Najib melancarkan MRT sepanjang 51 km hari ini dan mengumumkan diskaun separuh harga untuk semua jaringan pengangkutan awam seperti LRT dan Monorail bermula hari ini sehingga 31 Ogos.

17 Julai, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-