Sunday, July 30, 2017

Najib teruja AJK PAS hadir ke mesyuarat Umno

Bernama

Kehadiran Anggota Jawatankuasa PAS Lipis, Mahyudin Ghazali ke Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis hari ini mencuri perhatian anggota Umno termasuk presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir bagi merasmikan persidangan itu.

Najib yang dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin PAS tempatan itu berkata belum pernah berlaku dalam sejarah apabila pemimpin PAS datang ke majlis perasmian mesyuarat Umno.

“Jarang dalam persidangan Umno ada orang PAS. Man … (ketua Umno bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad) ini merupakan satu kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis Di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, hari ini.

Difahamkan Mahyudin hadir ke majlis berkenaan atas kapasiti sebagai Imam Masjid Kampung Tempoyang menerima peruntukan RM1.5 juta diumumkan Najib, untuk membaik pulih masjid kampung berkenaan, selepas menerima permohonan daripada Abdul Rahman.

Selain itu, Najib turut mengumumkan peruntukan mesin pengimbas untuk kegunaan Hospital Lipis.

​​Sementara itu, Najib menganggap lawatannya ke Lipis seperti balik kampung kerana di sinilah beliau dilahirkan 64 tahun lalu.

"Rasa terharu lagi tersentuh hati apabila beberapa perwakilan bersalaman dan sempat ucapkan ‘selamat pulang Datuk Seri’. Memang tidak ada tempat lain yang akan sebut ayat itu kecuali di Lipis kerana di sinilah saya rasakan memang ke kampung.

“Kira-kira 64 tahun lalu pada 23 Julai di sebuah rumah Setiausaha Kerajaan Negeri di Bukit Bius, bermulalah perjalanan insan bernama Najib Razak yang kini jadi presiden parti Umno dan perdana menteri Malaysia," katanya.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-