Sunday, July 16, 2017

'Rakyat tak kagum, barisan pimpinan Pakatan bukan pesaing BN'

Bernama
July 16, 2017

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mahdzir Khalid berkata, usaha membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinannya.


GEORGE TOWN: Pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat tidak mampu “mengagumkan” masyarakat untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinannya.

“Pada saya, nak buat (pembentukan barisan kepimpinan) itu untuk bagi masyarakat tengok kami ini dalam satu komponen Pakatan Harapan.

“Kita nampak mereka cuba nak tengok orang Melayu boleh terima inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.

“Saya tak nampak dia mampu ‘impress’ masyarakat untuk melihatnya sebagai salah satu daripada gabungan dapat bersaing dengan BN dalam PRU14,” katanya pada mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, malam ini.

Khamis lalu, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Mengulas struktur kepimpinan baharu itu, Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata, pelantikan 3 “ketua” jelas menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Beliau berkata, berbeza dengan BN, walaupun mempunyai 13 parti komponen, parti itu sepakat untuk taat setia kepada seorang pengerusi yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apa yang barangkali boleh saya sebut tidur di katil yang sama, tapi mimpi lain-lain…mereka susah nak buat keputusan. Barangkali inilah yuang dipersetujui mereka sehingga tengah malam dalam rundingan dan mesyuarat Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Mahdzir berkata, Umno tidak perlu gentar, takut atau rendah diri dan akan terus memerintah negara selepas PRU14.

“Umno memerintah negara ini sejak 60 tahun lepas dan menentukan semua dasar di negara ini dan selepas 60 tahun, kita telah membuktikan Umno mampu memerintah negara tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, semua ahli Umno perlu terus menunjukkan solidariti agar negara terus diperintah parti itu.

“Pembangkang telah memulakan gerakan untuk merampas kepimpinan negara sejak 2008…tidak berhenti fitnah dan pembohongan terhadap Umno, tetapi kepimpinan negara kita berada di landasan betul dan negara akan terus maju jika terus dipimpin Umno,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-