Friday, July 7, 2017

Perwakilan diingatkan elak bangkit isu remeh

Oleh FAZREEN KAMAL 
Foto RABBANI JAMIAN

7 JULAI: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengingatkan semua perwakilan Bahagian seluruh negara yang akan mula bersidang menggunakan peluang yang ada mendapatkan fakta secukupnya semua usaha yang telah dilakukan kepimpinan negara dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Ini kerana jelas Hamzah maklumat tersebut dapat digunakan untuk disalurkan kepada akar umbi bagi menangkis tohmahan pembangkang kononnya UMNO dan Barisan Nasional gagal meningkatkan taraf hidup masyarakat hari ini.
“Saya bersetuju dengan presiden parti (Datuk Seri Najib Razak) untuk kita merapatkan dan mengukuhkan lagi parti. Kita kena sedar bahawa dalam keadaan apa sekalipun pembangkang akan mencuba untuk mencari isu-isu yang boleh menyebabkan kita rasa kurang senang apabila berhadapan dengan rakyat.

“Begitu juga pembangkang akan cuba untuk merosakkan pemikiran rakyat yang ada dalam negara seolah-olah kepimpinan kita hari ini adalah kepimpinan yang tidak boleh menguruskan negara,” katanya kepada media selepas merasmikan World Food Festival di Ibu Negara pada Jumaat.

Tambah Hamzah perwakilan juga perlu elak daripada mencari isu yang remeh sehingga boleh memecah belahkan parti sebaliknya mengemukakan idea-idea yang bernas dalam membantu kepimpinan mengukuhkan saf dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Dalam waktu yang sama jika kita boleh menjelaskan dan bagaimana hendak menjelaskan saya minta mesyuarat perwakilan sepatutnya sudah faham dan tahu dari segi pengurusan ekonomi kita dapat membuktikan dengan fakta-fakta dengan menunjukkan bahawa ia adalah sesuatu yang terbaik kerajaan telah lakukan.

“Maka dengan sebab itu kita boleh menjelaskan bahawa kepimpinan negara dapat memastikan ekonomi negara bertambah baik. Sepatutnya ahli-ahli UMNO jangan mencari kesalahan remeh-temeh dalam bahagian yang boleh memecah belahkan bahagian itu sendiri sehingga ia boleh nanti menjadikan kekuatan kita berkurangan

“Sebab itu saya minta semua lebih faham. Apa yang penting kepada kita adalah untuk mempertahankan parti, untuk mempertahankan kepimpinan daripada untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu,” ujarnya.

Dalam amanat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri sempena persidangan UMNO peringkat Bahagian yang bermula hari ini menggesa semua perwakilan menguatkan kembali barisan dan saf perjuangan dan bersiap sedia membantu jentera menghadapi PRU ke-14.

Menurut Najib beliau mahu semua perwakilan mencari strategi serta formula berguna untuk kebaikan bersama.

“Jangan ada kelalaian atau kekurangan apabila dipanggil berjuang di barisan hadapan untuk UMNO.

“Insya Allah kita semua akan muncul sebagai pejuang terbaik. Selamat bersidang saya ucapkan,” katanya menerusi laman Facebook, semalam.

Sebelum ini, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Januari lalu menetapkan persidangan tahunan cawangan pada 17 Mac hingga 30 April lalu, sementara bahagian bermula pada 7 Julai hingga 26 Ogos depan.

Persidangan berkenaan dibuat lebih awal berbanding tahun sebelumnya berikutan penganjuran Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-