Tuesday, July 11, 2017

PM minta 'haji tajaan 1MDB' doa kepimpinan negara dikekalkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta penerima program menunaikan haji tajaan Yayasan 1MDB supaya mendoakan agar negara dan kepimpinan negara dapat dikekalkan untuk kesinambungan program kebajikan yang dilaksanakan.

Beliau berkata, usaha 1MDB, dengan sebahagian daripada keuntungannya digunakan untuk membangunkan masyarakat itu tidak boleh dibiarkan musnah disebabkan andaian individu yang disifatkannya sebagai “tidak boleh pakai sama sekali”.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas bahawa Najib merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering-kali lantang mengkritik dirinya dan skandal 1MDB.

“Sebab itu, apabila orang kritik 1MDB, kita sebagai pemimpin masyarakat mesti faham.
“Ini kerana sebahagian keuntungan 1MDB kita (kerajaan) gunakan untuk program kebajikan, tetapi ia tidak disebut.

"Saya harap anda yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat dikekalkan untuk kesinambungan program kebajikan yang dilaksanakan," katanya yang dipetik Bernama.

Pada majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya itu, Najib menyerahkan surat tawaran kepada 1,100 penerima.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata, di sebalik pelbagai tohmahan negatif segelintir pihak termasuk seorang bekas perdana menteri, 1MDB telah menghantar 5,711 jemaah dengan tajaan RM57 juta sejak inisiatif itu dilaksanakan lima tahun lepas.

Katanya, selain program tajaan ke Tanah Suci, keuntungan 1MDB merangkumi pelbagai inisiatif lain membabitkan bantuan perumahan dan pendidikan dengan nilai ratusan juta ringgit.

Sehubungan itu, katanya, golongan imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai pemimpin yang dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi, perlu memperbetulkan dan memperjelaskan dakwaan tidak benar mengenai 1MDB yang dibuat pihak berkepentingan berkenaan.

Najib berkata program khas haji tajaan yayasan 1MDB boleh diteruskan jika kerajaan sedia ada dipertahankan serta dikekalkan pada masa mendatang,

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan saguhati RM1,000, sepasang jubah serta rawatan perubatan percuma kepada setiap bakal haji yang akan berangkat ke Tanah Suci.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mahathir sebelum ini berulang kali menuduh Najib menyelewengkan dana 1MDB, tetapi ini secara konsisten dinafikan oleh perdana menteri.

Malah, Najib juga telah dibersihkan daripada melakukan sebarang salah laku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Perdana menteri mendakwa Mahathir dan mereka yang bersekongkol dengannya cuba menumbangkannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-