Saturday, July 15, 2017

Senyuman terakhir Prabagaran

 Prabagaran berpakaian kurta sambil mengukir senyuman

Gambar terakhir warganegara Malaysia S Prabagaran, 29, yang dirakamkan di penjara sebelum dia menjalani hukuman gantung di Singapura, telah menjadi tular di media sosial.

Gambar itu dimuat naik oleh NGO anti hukuman mati - We Believe in Second Chances - selepas beberapa jam dia menjalani hukumn gantung.

"Prabagaran digantung di Penjara Changi pagi (semalam).

"Keluarganya telah meminta agar kami berkongsi gambar terakhirnya di penjara, serta upacara sebelum perjalanan terakhirnya," kata NGO tersebut dalam catatan Facebook.


NGO tersebut turut berkongsi gambar-gambar lain, termasuk upacara terakhir untuk Prabagaran.

"Mereka mengatakan dia tetap bertegas dia tidak bersalah, walaupun dia akhirnya menerima bahawa dia akan digantung.

"Mereka yang bersama dengannya berkata dia riang dan bergurau dengan pengawal penjara walaupun saat-saat kematiannya semakin hampir," kata NGO itu.

NGO We Believe in Second Chances dalam satu kenyataan berkata pihak keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong mereka, serta para peguam yang bertungkus lumus di mahkamah Singapura dan Malaysia.

Prabagaran digantung pada pukul 6 pagi semalam.

Dia ditangkap di pusat pemeriksaan Woodpoint pada bulan April 2012, selepas dia didapati memiliki 22.24g heroin dalam kereta yang dipandunya.

Pekerja stesen minyak itu tetap bertegas dia tidak bersalah, dengan mengatakan dia telah meminjam kereta itu dari seorang kawan.

Dia dijatuhi hukuman mati pada tahun 2015, dan telah menggunakan segala ruang perundangan di Singapura apabila peguamnya memfailkan permohonan untuk mendesak kerajaan Malaysia membawa kesnya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Proses ini masih belum selesai di Mahkamah Rayuan Malaysia apabila hukuman gantung ke atasnya dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-