Friday, July 28, 2017

Siapa cakap Pas tidak mahu menang pilihan raya?

JAMILAH HAMZAH
27 JULAI 2017
KULIM - "Pas tetap relevan sampai kiamat."

Demikian respons yang diberikan Yang Dipertua Pas Padang Serai, Shahruddin Ibrahim dan menegaskan parti itu masih relevan sekaligus menangkis kenyataan Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang mendakwa kedudukan Pas dalam politik sudah tidak relevan lagi apabila agenda parti itu telah dilaksanakan Umno.

Beliau berkata hujah yang mendakwa Pas tidak mahu menang pilihan raya itu juga adalah tidak benar kerana di Kedah parti akan bertanding di semua 36 kerusi Dun dan 15 Parlimen.

"Tak betul dakwaan Pas tak mahu menang pilihan raya, di Kedah saja kita akan letak calon di semua kerusi Dun dan 15 Parlimen tujuannya untuk menang pilihan raya, dan di seluruh negara kita akan bertanding 120 kerusi Parlimen," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Pas juga yang telah menyebabkan agenda Islam yang sedang dijalankan di dalam negara ketika ini contohnya seperti perbankan Islam, dan Ar Rahnu.

"Banyak yang Pas buat untuk perjuangkan Islam contohnya dengan sistem perbankan Islam sekarang serta Ar Rahnu ia semua peranan Pas," katanya.

Selain itu, beliau berkata agenda Pas memperjuangkan Islam juga terdapat dalam fasal lima perlembagaan parti itu sendiri.

"Antaranya memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan ALLAH.

"Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Pas juga ingin menyelesaikan masalah ekonomi, jenayah, pendidikan, GST, penyelewengan secara Islam," katanya.

Tambahnya, perjuangan Pas ini berbeza dengan Pakatan Harapan yang bukan menjadi keutamaan menyelesaikan masalah tetapi tujuan sebenar menjatuhkan Perdana Menteri.

"Perjuangan kita berbeza dengan Pakatan Harapan, mereka nak selesaikan masalah itu dengan jatuhkan Perdana Menteri, bagi kita apabila Perdana Menteri jatuh orang lain pula naik ia sama saja, tak akan selesai masalah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-