Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 23, 2017

'Takut orang tua ka?'

Zikri Kamarulzaman


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia berdebat dengan sesiapa saja sama ada Datuk Seri Najib Razak atau penyokong perdana menteri itu.

Dan Dr Mahathir juga mengingatkan, mereka tidak perlu takut kepada dirinya.

"Datanglah Nazri, Najib, apa nak takut? Saya orang tua dah.

"Takut orang tua ka?" katanya kepada media di majlis sambutan hari raya Kelab Che Det Kampung Baru Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sebelum itu Dr Mahathir ditanya sama ada beliau sedia menerima wakil Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan perdana menteri di forum Nothing To Hide 2.0.

Program anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan diadakan di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam 13 Ogos ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Puad Zarkashi sebelum ini sudah menawarkan diri menggantikan Najib bagi menjawab segala persoalan yang akan dibangkitkan pada forum berkenaan.

Pernah gagal dengan menteri

Justeru kata Dr Mahathir beliau terbuka untuk menerima sesiapa saja untuk menjawab bagi pihak Najib.

Untuk rekod sebelum ini sudah pernah diaturkan debat antara Dr Mahathir dengan Datuk Seri Nazri Aziz yang juga salah seorang menteri kabinet ketika pengerusi BERSATU itu masih lagi menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak kesampaian selepas gagal mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia yang memberikan alasan keselamatan awam.

Nothing to Hide 2.0 Dr Mahathir bercadang untuk mendapatkan penjelasan daripada Najib mengenai dana bernilai RM2.6 biion yang dimasukkan ke akaun persendiriannya.

Menurut Dr Mahathir wang itu sebenarnya dicuri dari dana 1MDB, namun Najib yang secara konsisten menafikan tuduhan itu sebaliknya bertegas ia adalah derma daripada seorang hartawan Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut mengesahkan kenyataan itu dan membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah.

Pada 2 Jun 2015 pertubuhan SukaGuam pernah menganjurkan majlis Nothing to Hide di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ia sepatutnya menjadi pentas untuk pertubuhan bukan kerajaan bertanya soalan terus kepada Najib yang memang dijadual hadir di situ.

Bagaimanapun Najib tidak muncul, sebaliknya Dr Mahathir naik ke pentas untuk memberikan ucapan di depan kira-kira 2,000 hadirin sebelum dihentikan oleh polis atas faktor keselamatan.

Kejadian berlaku kira-kira lima minit selepas Dr Mahathir memulakan ucapan dan menyebut nama ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho - atau Jho Low - yang dikaitkan dengan pengurusan dana 1MDB.

[Baca berita penuh]