Monday, July 24, 2017

Tembak mati mereka, arahan Jokowi lawan dadah

FMT Reporters
July 24, 2017

Gejala dadah di Indonesia kini di tahap 'darurat', kata presiden Indonesia.

PETALING JAYA: Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini mengarahkan pasukan keselamatan negara itu mengambil pendirian tegas dalam membanteras pengedaran dadah, termasuk menembak mati mereka yang terlibat dalam aktiviti itu.

“Saya sudah beritahu, bertegaslah, terutama bila berdepan dengan pengedar dadah luar negara yang memasuki negara ini dan mengelak tangkapan.

“Tembak mereka mati. Jangan kasihan,” katanya dipetik Jakarta Post dalam ucapan di perhimpunan anjuran Partai Persatuan Pembangunan Jumaat lalu.

Ia susulan rampasan besar syabu sebanyak 1 tan yang berasal dari Taiwan minggu lalu.

Polis menangkap 4 warga Taiwan yang dipercayai merancang pengedaran dadah itu di Jakarta, sementara seorang lagi ditembak ketika cuba mengelak tangkapan.

Jokowi berkata Indonesia kini berdepan dengan situasi “darurat” dalam menghadapi pengedaran dadah.

Ketua Polis Negara Tito Karnavian berkata ramai pengedar dadah menyasarkan Indonesia kerana menganggap undang-undang anti-dadah republik itu lebih ringan berbanding Singapura, Malaysia dan Filipina.

Tito berkata dadah yang dirampas minggu lalu dibawa masuk melalui sebuah kapal pesiar bernama “Wanderlust” yang berlayar dari Taiwan.

Selepas menghantar bekalan dadah di Jakarta, ia kemudian meneruskan perjalanan ke Laut Jawa dan Batam, lapor Jakarta Post.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-