Sunday, July 23, 2017

Tiga faktor penentu kemenangan - Zahid

By watan 
on July 23, 2017
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga faktor yang bakal menentukan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Tiga faktor yang dimaksudkan oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu ialah, perpaduan dalam rumah UMNO, perpaduan dalam rumah BN dan faktor calon.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, faktor calon memainkan peranan penting yang akan menjamin kemenangan BN pada PRU14 nanti selain perpaduan parti.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, 75 peratus kemenangan sesebuah parti adalah disebabkan faktor calon.

“Tetapi soal perpaduan dalam rumah UMNO, BN juga adalah ‘mauduk’ utama. Kita kalah bukan kerana pembangkang kuat, tetapi kerana Ketua Bahagian (UMNO) ada masalah dengan Timbalan, Naib dan sebagainya.

“(Yang ada jawatan) jangan perasan lepas ini jadi calon. Walaupun tidak pegang jawatan di atas (bahagian), tetapi tetap boleh jadi calon.
“Kami tentukan calon atas kehendak rakyat, rakyat yang fikir dan tentukan calon atau personaliti yang mereka mahukan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Setiawangsa di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO bahagian Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mahu pemimpin UMNO supaya menjaga kebajikan pengundi awal yang terdiri daripada kalangan tentera dan polis.

Katanya, golongan terbabit masih gagal mendapat pembelaan sewajarnya dan kerajaan sedang berusaha untuk menambah baik mutu kehidupan mereka.

Jelasnya, jangan beranggapan bahawa pengundi ini ‘dipaksa’ menyokong BN kerana semua itu tidak pernah berlaku dan mereka bebas memilih calon yang bertanding.

Oleh itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO yang bersama kerajaan untuk turut serta membela nasib kumpulan itu bagi mengembalikan keyakinan mereka pada BN.

Wartawan Watan-Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-