Saturday, July 22, 2017

Tun Mahathir dicabar debat bersama Puad Zarkashi


21 JULAI: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat dengannya pada program Nothing to Hide 2.0 yang bakal dianjurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, beliau sedia untuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika Mahathir benar-benar serius untuk mencari kebenaran mengenai isu 1MDB.

“Sekiranya Tun Mahathir serius untuk mencari kebenaran mengenai isu 1MDB, saya menawarkan diri untuk berdebat dengan beliau dalam Forum Nothing to Hide 2.0 yang mereka ingin anjurkan.

“Jadi tak perlulah dia mencabar Datuk Seri Najib untuk berdebat dalam forum Nothing to Hide 2.0 mengenai isu 1MDB ini,” katanya.

Menurut Dr Puad lagi, tiada sebab untuk Mahathir menolak tawarannya itu.

“Walaupun dia mendakwa dia adalah ‘top dog’ dan Najib adalah setanding dengan beliau, Pada saya selaku pengerusi PH, jawatan beliau itu tidaklah ada apa-apa kuasa sebenarnya.

“Oleh kerana itu tidak ada sebab sekiranya beliau tidak bersetuju untuk berdebat dengan saya sebagai ahli MT UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Puad mendakwa tujuan sebenar Mahathir menganjurkan forum berkenaan adalah untuk memalukan Perdana Menteri.

“Dan saya tahu sebenarnya Mahathir tidak serius untuk berdebat secara ilmiah, secara bersopan. Saya yakin bahawa beliau mahu menjadikan debat ini sebagai tempat untuk mereka memalukan Perdana Menteri.

“Mereka datang nak buat kecoh supaya Najib dimalukan di khalayak ramai,” katanya.

Pada Program Nothing to Hide yang pertama, Mahathir dan pengikut-pengikutnya telah membuat kecoh dengan mengambil alih pentas walaupun program berkenaan telah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar demi menjaga ketenteraman awam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-