Thursday, July 13, 2017

'Umno sembunyi salah laku Tun M'

W SAIDATUL NAJEMUDIN
13 JULAI 2017
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA TERENGGANU - Pemimpin Pas mempersoalkan sikap pemimpin Umno yang menyembunyikan salah laku bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, amaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuka aib dan salah laku Mahathir jika pemimpin terbabit mencampuri urusan Umno mengesahkan bahawa Mahathir pernah melakukan salah laku ketika zamannya.

Beliau menegaskan, tindakan salah laku itu tidak sepatutnya dibiarkan pemimpin Umno sebaliknya mereka perlu bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan Mahathir.

“Sekarang baru mereka ugut nak dedahkan salah laku Mahathir. Salah laku selama berpuluh tahun ini telah meninggalkan kesan parut kekal yang hodoh kepada negara. Bukan hanya nasi telah menjadi bubur tapi buburnya juga telah basi dan berbau.

“Tanggungjawab atas kerosakan lantaran salah laku Mahathir selama berpuluh tahun ini wajib dipikul bersama oleh semua pemimpin Umno yang pernah bersama Mahathir. Bukan hanya Mahathir seorang diri. Ajaibnya kalau mereka yang pernah menyokong segala tindakan Mahathir selama ini, sekarang mula berlagak suci,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, tindakan Ahmad Zahid mengugut Mahathir turut menguatkan dalil bahawa Mahathir banyak melakukan salah laku yang tidak putus-putus ditentang Pas selama tempoh pentadbirannya.

Beliau juga tidak hairan jika Ahmad Zahid mengetahui rahsia salah laku Mahathir itu berikutan hubungan ‘anak buah’ dan bos yang pernah wujud antara kedua-duanya suatu ketika dahulu.

“Pas tak pernah jemu menentang salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya sehingga ramai pemimpin Pas meringkuk dalam tahanan ISA malah ada yang dibunuh kejam di Memali,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman turut menggambarkan situasi yang berlaku melibatkan Ahmad Zahid itu sebagai anak buah yang memperlekehkan bekas bosnya sendiri sedangkan Mahathir pula sentiasa ingin menjadi pemimpin dan tidak menghiraukan orang lain.

“Salah seorang Melayu yang mudah lupa ialah Mahathir sendiri. Antara yang mudah lupa juga ialah mereka yang sekarang ini berada sepentas dengan Mahathir bagaikan terlupa bahawa asbab parti mereka ditubuhkan dulu adalah untuk membela pemimpin besar mereka yang dipecat oleh Mahathir.

“Zahid adalah salah seorang pemimpin muda Umno yang bersama Anwar sebelum membuat ‘U-turn’ untuk kembali menumpahkan ketaatan kepada Mahathir. Barangkali ada juga unsur-unsur kelupaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-