Sunday, July 23, 2017

Wakil Rakyat pembangkang sekadar panaskan kerusi, BN berkhidmat - Salleh


BUKIT MERTAJAM, 23 Julai -- Sikap wakil rakyat daripada parti pembangkang yang disifatkan sebagai sekadar memanaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh memberi keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tiada istilah 'kubu kuat' di kawasan berkenaan, sebaliknya kesedaran rakyat akan membawa kepada kejayaan BN kerana mereka melihat apa yang dilakukan BN.

"Mereka (pengundi) telah pilih wakil rakyat daripada parti pembangkang beberapa penggal, tapi mereka lihat yang memberi khidmat adalah daripada UMNO itu sendiri.

Saya yakin sungguh rakyat akan buat perubahan dan saya lihat perpaduan antara parti-parti komponen di Permatang Pauh ini juga amat baik sekali," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Permatang Pauh di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak boleh leka dan perlu terus turun padang untuk memberi penjelasan kepada rakyat tentang pentingnya mempunyai wakil rakyat daripada BN untuk menentukan kawasan mereka lebih maju pada masa depan.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata perhatian lebih khusus juga akan diberikan kepada Permatang Pauh di samping mengatur strategi khas dalam usaha menawan kembali kerusi Parlimen itu.

"Kita harus tentukan jentera bergerak hingga ke peringkat akar umbi dan apa pun sokongan diperlukan akan diberikan untuk menentukan kita memenangi kerusi ini pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Salleh turut meluangkan masa beramah mesra dengan 120 bakal haji yang akan ke Makkah pada tahun ini di samping menyampaikan sagu hati daripada UMNO bahagian kepada mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-