Saturday, August 19, 2017

'Cash is king' musuh nombor 1 Melayu, bukan Dr M

Tidak masuk akal untuk menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulu dikenali sebagai ultra Melayu, kini dilabel sebagai musuh nombor satu Melayu, kata Ketua Pemuda BERSATU (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai musuh utama Melayu kerana berusaha menghapuskan Umno.

Menurut Syed Saddiq, pentadbiran Mahathir telah berjaya membangunkan insdutri untuk orang Melayu, "membandarkan" mereka serta mengangkat martabat dan maruah bangsa itu di persada dunia.

"Bangsa yang suatu ketika dijajah, sekarang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin dunia yang lain. Itu berlaku di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir," katanya dalam kenyataan.

Dengan jelas merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Syed Saddiq berkata perdana menteri menggadaikan aset-aset strategik negara kepada kerajaan 'komunis China'.

"Cash is king (wang sebagai raja) menggadaikan kepentingan orang Melayu dengan memberikan kontrak-kontrak mega ke komunis China sambil kita tanggung hutang berbilion ringgit Malaysia," katanya.

Selain itu katanya, masa depan golongan muda Melayu tergadai apabila mereka ditekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal, terutamanya apabila banyak biasiswa ditamatkan.

"Tun Dr Mahathir mahu membangunkan orang Melayu, tetapi 'cash is king' mahu menghambakan orang Melayu kepada duit. Amat sedih sekali," katanya.

Najib sebelum ini mempertahankan pelaburan dari China, dengan mengatakan ia akan merangsang ekonomi negara dan berulang kali mengumumkan bahawa kedaulatan Malaysia tidak akan dikompromi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-