Saturday, August 19, 2017

DAP: Dr M dilabel anti-Melayu kerana berani lawan Umno

Predeep Nambiar
August 19, 2017

Pakatan Harapan tidak menentang mana-mana kaum, cuma menentang rasuah, kata Lim Guan Eng.
BUTTERWORTH: Ada sebab mengapa Umno mengenakan label anti-Melayu yang sebelum ini diberikan kepada DAP kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ini kerana Dr Mahathir berani melawan parti Melayu itu.

“Sebelum ini dia hentam DAP ‘ini musuh utama orang Melayu’, anti-Melayu, anti-Islam, tetapi hari ini tempat kita digantikan Dr Mahathir, kerana beliau berani lawan Umno,” katanya ketika berucap di padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di Kepala Batas, malam tadi.

Beliau berucap kepada hampir 3,000 hadirin di program Jelajah Semarak anjuran Pakatan Harapan.

Guan Eng menjawab Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang semalam dilaporkan berkata Dr Mahathir “musuh utama” orang Melayu.

Khairul berkata ini kerana bekas presiden Umno itu sedang berusaha untuk menghapuskan parti yang pernah diterajuinya.

Sementara itu, Guan Eng mempertahankan DAP daripada dakwaan anti-Islam dan anti-Melayu.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang menaikkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 84%, daripada RM250 juta kepada RM450 juta.

“Itu anti-Islam kah? Sampai MCA ‘bantai’ saya anti-Cina kerana naikkan peruntukan untuk orang Islam. MCA bukan anti-Islam kah, bukan anti-Melayu kah?

“Kita dalam Pakatan Harapan kita jaga semua rakyat, kita bukan anti-Melayu, kita bukan anti-India, kita bukan anti-Cina, kita hanya anti-rasuah sahaja,” kata beliau.

DAP sering dituduh sebagai parti “cuvanis Cina” yang menentang orang Melayu. Dr Mahathir akui pernah memainkan sentimen itu semasa dalam Umno, tetapi berkata tindakan itu sebahagian daripada strategi politik.

Tetapi selepas ahli politik berusia 92 tahun itu berhasrat menwewaskan Umno dan presiden mereka Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir berulang kali mengatakan DAP parti berbilang kaum yang disalah sangka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-