Tuesday, August 22, 2017

Hendak siasat apa lagi pasal Memali, tanya Hanif Omar

Amin Iskandar
Bekas ketua polis negara, Mohammed Hanif Omar turut mempersoalkan maklumat apa lagi yang mahu dicari dalam tragedi menyebabkan 4 anggota polis dan 14 orang awam terbunuh pada 19 November, 1985. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.

BEKAS pemimpin tertinggi pasukan polis mempersoalkan apa perlunya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali yang berlaku 32 tahun lalu.

Bekas ketua polis negara, Mohammed Hanif Omar turut mempersoalkan maklumat apa lagi yang mahu dicari dalam tragedi menyebabkan 4 anggota polis dan 14 orang awam terbunuh pada 19 November, 1985.

“Apakah sebabnya mereka masih tidak puas hati?” soal Hanif kepada The Malaysian Insight ketika diminta mengulas kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat peristiwa Memali.

“Apakah perkara penting yang masih belum terjawab?”

Hanif turut mengingatkan penubuhan RCI akan melibatkan kos yang tinggi.

“RCI bukan percuma, ada kosnya kepada rakyat,” katanya.

Hanif adalah ketua polis negara semasa peristiwa Memali berlaku, dan merupakan ketua polis negara paling lama berkhidmat antara 1974-1994.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tragedi Memali kerana tidak berada di Malaysia pada ketika itu.

Ketika peristiwa berdarah Memali berlaku pada 1985, Hanif sedang bercuti kerana menyambung pengajian selama dua tahun di United Kingdom.

Jawatannya ketika itu dipangku Mohamed Amin Osman dari 1983 hingga penghujung Disember 1985.

Kerajaan membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di bertarikh 26 Februari 1986 yang ditandatangani menteri dalam negeri ketika itu, Musa Hitam kepada Parlimen. 

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan hujung minggu lalu Putrajaya bersedia menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi Memali.

Kenyataan itu dialu-alukan PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali. 

Bagaimanapun seorang lagi bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor berkata tindakan kerajaan menubuhkan RCI hanya akan mendedahkan peranan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai punca berlakunya tragedi berdarah Memali.

Rahim menarik perhatian kepada ucapan Hadi dalam sebuah ceramah pada 1981 yang mempengaruhi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sehingga terjebak melakukan kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Ucapan itu terkenal dengan gelaran "Amanat Hadi". 

Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli parti Islam itu di seluruh negara pada ketika itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk mereka sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum "Nothing to Hide 2.0" baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir Mohamad berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin. 

Dr Mahathir, perdana menteri semasa peristiwa Memali, kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

Hadi pula, selepas membawa PAS memutuskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kini dilihat senada dengan Umno dalam banyak perkara menuju Pilihan Raya Umum ke-14.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-