Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, August 6, 2017

Melondeh taktik di belakang perang Tun M dan TPM

POLITIK Malaysia kini memasuki fasa ‘political taunting’. Adegan taunting yang paling menarik sekarang ialah permainan saling melondeh antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Mahathir sedang menggunakan taktik memisahkan musuh, satu taktik lapuk yang sering diulang kerana keberkesanannya untuk memecahkan lawan dengan mewujudkan keraguan terhadap kesetiaan TPM terhadap bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Taktik ini sangat mujarab sekiranya pihak yang melancarkan serangan itu sudah dapat mengesan sudah ada retakan di dalam pihak musuh.

Dr Mahathir sedang memasang pancing untuk kem yang anti-TPM di dalam Umno untuk bertindak.

Sekiranya ada pihak di sebelah kem PM yang tidak senang dengan TPM, golongan ini sudah pasti akan termakan pancing yang dipasang Dr Mahathir lalu mengambil kesempatan menggunakan serangan Dr Mahathir untuk menimbulkan keraguan yang lebih mendalam terhadap kesetiaan TPM kepada Najib.

Pada ketika ini, TPM perlu bertindak secara berhati-hati, sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun tindakan supaya pancing yang dipancing oleh Dr Mahathir tidak mengena. Sebarang kesilapan daripada TPM yang mewujudkan persepsi bahawa serangan Dr Mahathir mempunyai merit akan menyusahkan beliau sendiri.

Salah satu cara untuk mengelak pancing Dr Mahathir ialah dengan menyerang Dr Mahathir kembali dari setiap pelosok. Dan itu yang sedang dilakukan TPM sekarang.

Serangan balas TPM terhadap Dr Mahathir bukanlah serangan sembrono. Setiap serangannya dialas dengan umpan untuk menimbulkan keraguan para pengundi tegar Umno-BN, terutamanya para pengundi orang Melayu terhadap Dr Mahathir dan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, serangan TPM terhadap Dr Mahathir telah meletakkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan defensif.

Pasukan Dr Mahathir terpaksa menjawab soalan mengenai asal-usul keluarganya. Serangan Dr Mahathir terhadap kekayaan TPM pula menimbulkan keraguan terhadap kekayaan anak-anaknya. Kini, TPM menimbulkan isu Memali dan mengumpan Dr Mahathir berlawan di gelanggangnya.

Kesilapan terbesar Dr Mahathir di dalam perang persepsi terhadap TPM ialah menimbulkan dakwaan RM230 juta.

Dakwaan ini menimbulkan keraguan kepada Dr Mahathir sendiri, mengapa ketika beliau selaku Perdana Menteri tidak mengarahkan siasatan terhadap kekayaan TPM yang ketika itu bersama Pemuda Umno? Bukan itu sejenis salah guna kuasa?

TPM pula melakukan kesilapan dengan mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman seorang bekas pemimpin Umno yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Jika benar, apakah beliau telah mendedahkannya kepada Najib ketika ia berlaku? Jika tidak, ini akan menyebabkan pancing Dr Mahathir akan terkena kerana kesetiaan beliau terhadap Najib akan dipersoalkan meskipun tidak secara zahir.

Setakat ini, kelihatan pancing Dr Mahathir tidak mengena. Tiada ahli Umno yang mempersoalkan kesetiaan TPM terhadap Najib, malah serangan Dr Mahathir telah mengukuhkan kesetiaan TPM terhadap Najib.

Cuma taktik memisahkan musuh yang dipasang Dr Mahathir ini bagaikan duri lalang. Ia boleh berpanjangan yang amat sangat. Sama ada ia berjaya atau tidak, kita hanya akan tahu selepas PRU14 dan siapa perdana menterinya ketika itu. 

- HARAKAHDAILY