Saturday, August 19, 2017

Najib: Beri peluang kepada pemimpin seterusnya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta pemimpin terdahulu supaya mengingati konsep ‘putaran roda’, dengan memberi peluang kepada pemimpin seterusnya untuk menyambung perjuangan mengikut cara tersendiri.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, pemimpin sedia ada sepatutnya diberi kepercayaan untuk meneruskan perjalanan dan legasi sebelum ini memandangkan perjuangan berasaskan idealisme tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Sebab dalam hidup kita ada putaran roda... satu hari kita akan turun dan bila turun kita sokong pula orang naik barulah perjuangan kita kesampaian dan kepimpinan kita dapat barakah sebab orang akan menghargai (dan) menilai jasa dan legasi kita.

“Ini barulah konsep kepemimpinan... bukan bila kita tak ada jawatan kita nak jahanamkan, nak kutuk, nak lihat parti yang terlalu banyak jasa pada kita, tertiarap. Ini bukan perangai orang yang sayang Umno...,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Langkawi di Langkawi hari ini yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan. Turut hadir Ketua Umno, bahagian Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Perdana menteri berkata, beliau sendiri meneruskan legasi dan perjuangan lima perdana menteri terdahulu dengan melakukan 'tambah nilai' kepada setiap asas perjuangan tersebut, bukannya menjahanamkan apa yang telah dibina selama ini.

"Saya masih ingat dan saya tidak mudah lupa.. saya tidak mudah lupa.. saya masih ingat seorang pemimpin itu berkata, kalau kita tiada jawatan kita perlu sokong orang baru sebab bila kita jadi pemimpin orang lain pula sokong kita, sebab itu kita berjaya," katanya.

Namun, katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila pemimpin berkenaan dlihat cuba menghancurkan parti keramat Umno yang sudah pun berusia 71 tahun itu.

"Kalau dulu lawan sekarang kawan, dulu kawan sekarang lawan... ini apa... ini bukannya prinsip moral dalam politik, ini politik kerana marah, kecewa dan lupa asas dan nilai perjuangan," katanya.

Katanya sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana pemimpin terdahulu yang meninggalkan Umno, akhirnya akan menyedari bahawa mereka tidak kuat tanpa parti itu, seolah-olah ada sesuatu yang hilang dalam diri mereka.

[Berita lanjut menyusul]

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-